MALAYSIA
Bendera terbalik: Polis serah lima kertas siasatan ke Pejabat Peguam Negara

Mohd Khalid menghadiri majlis penyerahan empat unit kenderaan Armoured Personnel Carrier (APC) bagi memperkukuh keupayaan Skuadron Perisai Pasukan Gerakan Am (PGA). - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Enam kertas siasatan dibuka polis berhubung kes pemasangan dan pengibaran bendera secara terbalik menjelang sambutan Hari Kebangsaan.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, lima daripada kertas siasatan itu sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
"Setakat ini, enam kes dilaporkan membabitkan dua kes di Johor, dua di Pulau Pinang serta masing-masing satu di Selangor dan Negeri Sembilan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini hari ini.
Pada masa sama, Mohd Khalid turut mengingatkan semua pihak supaya menghormati undang-undang serta menjaga keharmonian negara, khususnya ketika Malaysia bakal menyambut ulang tahun kemerdekaan."Elakkan daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mengganggu gugat keharmonian serta perpaduan antara kaum," katanya.
Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus melaksanakan langkah penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak yang bertindak di luar batas undang-undang.
Sementara itu mengulas insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah kedai perkakasan di Bertam, Pulau Pinang, Mohd Khalid mengingatkan supaya isu berkenaan tidak dijadikan bahan politik yang boleh mencetuskan perbalahan dalam kalangan masyarakat.
Terdahulu, beliau menghadiri majlis penyerahan empat unit kenderaan Armoured Personnel Carrier (APC) bagi memperkukuh keupayaan Skuadron Perisai Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman.
Kenderaan berkenaan diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Global Komited Sdn Bhd Datuk Ir. Mohd Nasser Israil kepada Mohd Khalid.
Beliau berkata perolehan bernilai RM10.72 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (Rolling Plan 1) itu dilaksanakan dengan tempoh kontrak 24 bulan bermula 30 Mac 2024 hingga 29 Mac 2026.
“APC jenama International Armoured Group (IAG), model IAG Guardian CEN Level B6, berupaya membawa lapan penumpang serta dilengkapi sistem komunikasi dan ciri keselamatan taktikal termasuk Radio VHF RMPNet, Portable Tactical Communication, Heavy Duty Winch, tayar runflat serta sistem gantungan heavy duty,” katanya.
Menurutnya, Skuadron Perisai PGA memainkan peranan penting dalam operasi lapangan termasuk perlindungan perisai, bantuan tembakan, rondaan kawasan, pengiring konvoi, sekatan jalan raya, pembersihan halangan, penghantaran logistik serta operasi menyelamat di kawasan krisis, selain mendirikan pos pemerhati.
Mohd Khalid berkata daripada empat unit itu, dua APC akan ditempatkan di Briged Tengah, satu di Briged Utara dan satu lagi di Briged Tenggara.
“Kenderaan sama turut digunakan oleh pelbagai agensi keselamatan antarabangsa termasuk Pasukan Pengaman UNIFIL (MALBATT), Lithuania Public Security Service, Chile Gendarmerie, Bulgaria Special Forces, People’s Public Security of Vietnam, Senegal Police Force dan Nigeria Armed Forces, sekali gus membuktikan keberkesanan serta keupayaannya di lapangan,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami