KOTA BHARU: Stok bekalan benih padi sebanyak 1.4 juta beg yang tersedia berbanding 200,000 beg yang diperlukan, amat mencukupi untuk keseluruhan penanaman padi di Kelantan.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Muhammad Husin berkata pihaknya sudah melakukan perbincangan dengan pengilang bagi memastikan bekalan benih padi sentiasa mencukupi.

Beliau berkata pesawah juga tidak perlu gusar kerana bekalan sudah ada dan mencukupi di samping harga yang dijual iaitu RM45 setiap beg amat berpatutan dengan harga sebelum ini RM55 setiap beg.

"Bagi penanaman padi musim kedua 2023 yang dijangka bermula 17 Dis ini, kita juga telah menghantar pegawai untuk berjumpa pengilang di Kedah dan mereka bersetuju untuk hantar sebanyak 20,000 beg benih padi sekiranya ada pesawah sudah bersedia.

"Bagi menggelak kerosakan akibat banjir, penanaman kali ini agak lewat dan 'lari' daripada Jadual Kebangsaan terutamanya bagi kawasan penanaman di Kota Bharu Utara (KBU) dan Kota Bharu Selatan (KBS) yang melibatkan 1,200 pesawah dengan keluasan 7,000 hektar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sijil kepada 65 kakitangan pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KADA 2022 di sini pada Isnin.

Mengulas mengenai bantuan banjir kepada pesawah yang terkesan, Muhammad berkata KADA memang sentiasa memantau dan menjaga kebajikan pesawah termasuk bantuan segera dari segi barangan keperluan melalui Bakul Rahmah.

"Golongan petani dan pesawah ini juga telah menerima RM600 bagi semusim penanaman dan boleh digunakan di saat memerlukan seperti banjir.

"Untuk kerosakan padi kita akan ambil maklumat pesawah melalui satu jawatankuasa yang ditubuhkan, manakala laporan mengenainya akan dihantar ke pihak kementerian," katanya.

Beliau berkata tahap bayaran pampasan biasanya akan dilihat kepada umur padi yang rosak serta keluasan kawasan penanaman.

-- BERNAMA