Kenderaan yang mencuri perhatian tak semestinya kerana rupanya yang menarik. Seperti yang kita semua sedari, ia juga mungkin kerana rekaannya yang ‘unik’. Tak perlu berpura-pura – Nissan Serena S Hybrid tergolong di dalam kelompok ini. Perhatian anda memang akan teralih padanya, kemungkinan besar bukan untuk reaksi yang positif.

Tetapi pereka yang bertanggungjawab ke atas penghasilan Serena ini jelas mengutamakan praktikaliti daripada rupa fizikal. Jika anda mendapat peluang untuk cuba ‘hidup’ di dalam ruang kabinnya, saya syorkan anda jangan lepaskan peluang itu. Anda pasti akan faham apa yang hendak dicapai oleh pasukan di belakang model Serena ini.

Peluang memandu uji MPV ini telah saya gunakan untuk merantau ke Johor Bahru bersama-sama isteri dan anak-anak. Tentunya sebagai pemandu, saya tidak dapat merasai keselesaan sewaktu perjalanan.

Kerusi yang di dalam industri ini dipanggil ‘captain seats’ ataupun sebuah kerusi yang bebas bergerak dan diubah tanpa menggangu kerusi lain. Pergerakkan bebas ini termasuk untuk ke hadapan atau belakang, lebih memudahkan penumpang tambahan untuk ke kerusi barisan ketiga.

Ketinggian bumbung dipadankan dengan lantai yang rendah untuk memberi ruang dalaman yang benar-benar luas, bahkan kanak-kanak dengan ketinggian di bawah 130cm dpat berjalan tanpa membongkok. Ditambah dengan tingkap yang besar, ia menambahkan lagi ‘ilusi’ keluasan.

Kapasiti penumpang adalah 8 orang, tetapi untuk keselesaan terbaik 6 orang adalah lebih sesuai. Kerusi barisan ketiga dapat dilipat untuk mendapat ruang kargo lebih, namun disebabkan ia dilipat ke sisi, menjadikan ia sebenarnya ruang yang mempunyai bentuk yang pelik dan tidak optimum. Kenapa ia tidak direka untuk dilipat leper ke dalam lantai seperti yang kerap dilakukan model-model MPV dan SUV lain? Kerana di dalam lantai Serena ini terdapat juga ruang yang agak luas, cukup untuk barangan seperti ‘stroller’ bayi atau beg golf.

Keselesaan bertambah dengan sistem pendingin udara yang kuat. Penumpang dapat mengawal sendiri suhu dan kekuatan pendingin; setiap barisan kerusi juga mendapat sepasang lubang udara jadi suhu kabin dapat dikurangkan dengan lebih cepat.

Perjalanan ke selatan membolehkan saya untuk mengetahui sendiri prestasi enjin dan kemampuannya sebagai sebuah MPV dengan teknologi hybrid. Lebih-lebih lagi perjalanan ini lengkap dengan tambahan berat dua orang dewasa dan dua kanak-kanak, masing-masing dengan bagasi tersendiri.

Enjin MR20DD dengan direct-injection ini menjana 145hp dan 210Nm yang dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear CVT. Yang perlukan lebih penjelasan adalah sistem hibrid yang digunakan – sebenarnya ia sangat berbeza daripada sistem yang kita ketahui sebelum ini menerusi produk-produk daripada Toyota atau Honda.

Sebaliknya, sistem di dalam Serena S Hybrid ini adalah jauh lebih ringkas. Tidak ada bateri litium-ion atau nikel hydride di sini (yang selalu digunakan di dalam sistem hibrid), yang ada adalah sebuah lagi bateri kereta biasa. Ia bertugas untuk membantu bateri utama menghidupkan kembali enjin apabila ia dimatikan sementara sewaktu berhenti (sewaktu kesesakkan, lampu trafik, dll) – ataupun dikenali sebagai idle-stop.

Bateri tambahan ini juga membantu sedikit sewaktu MPV ini baru hendak bergerak, tetapi tidak banyak. Dalam eti kata lain, ia bukanlah sistem hibrid yang lengkap, dan jika dilihat dari segi itu, angka penggunaan petrol yang dilihat pada papan kemuka tidaklah begitu memeranjatkan.

Perjalanan 900km - lebih separuh di atas lebuhraya dengan trafik yang lancar – dengan kelajuan purata 110km/j hanya mencatat 11.8km/liter ataupun 8.4 liter/100km. Ini jauh berbeza daripada dakwaan Nissan iaitu 15.2km/liter (6.5 liter/100km). Mungkinkah ia satu sistem yang berfungsi dengan kemampuan terbaik di dalam pemanduan dalam bandar? Mungkin juga, tetapi saya rasa penggunaan direct-injection lebih membantu untuk memberikan ekonomi minyak, bukannya hibrid MPV ini.

Dengan ruang dalaman yang luas, kerusi yang selesa, suspensi yang selesa dan sistem hiburan yang datang dengan pemain DVD serta monitor LCD tersendiri, Serena S Hybrid ini satu MPV yang mantap. Pintunya juga boleh ditutup/dibuka secara automatik. Jadi sebagai sebuah kenderaan untuk keluarga/syarikat, ia memang sesuai, tetapi ia tidak teralu menyakinkan sebagai sebuah kenderaan hibrid yang dapat memberi penjimatan bahan api terbaik.

- Ahmad ‘Cimatt’ Zulizwan

ModelNissan Serena S-Hybrid
Enjin1,997cc, 4-silinder sebaris, direct injection
GearCVT
PacuanFWD
Prestasi145bhp @ 5,600rpm, 210Nm @ 4,400rpm
Keselamatan2 beg udara, Vehicle Dynamic Control (VDC)
Berat1660kg
HargaRM145,515 (atas jalan + insurans)