KUALA LUMPUR: Pengumuman Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, bahawa kerajaan akan menggantikan Beras Putih Tempatan (BPT) dan Beras Putih Import (BPI), dengan beras putih Malaysia Madani adalah satu pengumuman yang janggal dari segi pentadbiran Kerajaan.

Pengerusi Portfolio Pertanian dan Keterjaminan Makanan Perikatan Nasional, Datuk Seri Ronald Kiandee dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, pengumuman oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang itu tidak mematuhi peruntukan undang-undang, apatah lagi kerana ia melibatkan penguatkuasaan akta.

Tambah Ahli Parlimen Beluran itu lagi, kenyataan Syed Abu Hussin Hafiz janggal kerana secara lazimnya, suatu task force tidak membuat keputusan namun hanya memberi cadangan kepada jawatankuasa pemandu, yang mana dalam hal ini NACCOL dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

“Jelas bahawa Beras Putih Madani tidak mematuhi Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) yang menetapkan gred dan harga beras tempatan. Pada masa ini gred beras campuran yang dibenarkan adalah gred super tempatan (ST15) dengan kawalan harga RM1.65/kg hingga RM1.80/kg. 

“Oleh itu mana-mana pemborong, pengilang dan peruncit yang menjual Beras Putih Madani melakukan kesalahan di bawah Akta ini,” katanya lagi.

Syed Abu Hussin Hafiz pada 14 Februari lalu mengumumkan pengenalan kategori tunggal bagi beras putih, yang akan dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani.

Namun perkara itu disangkal oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, yang menegaskan cadangan berkaitan akan dibincang secara kolektif terlebih dahulu.

Menteri Komunikasi, yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil pula berkata, Kerajaan tidak membuat pusingan U dalam isu gred beras putih seperti yang didakwa, sebaliknya ia merupakan satu cadangan dan masih belum lagi diputuskan Kabinet

Dalam pada itu Ronald berkata, Syed Abu Hussin Hafiz perlu mengambil tahu bahawa pengumumannya kini dijauhi oleh Menteri dan Kementerian Setiausaha Kementerian kerana libat urus yang dibuat oleh Bukit Gantang juga dipercayai tidak menyeluruh.

“Kerajaan Madani perlu insaf bahawa masalah kehilangan BPT sejak September tahun lalu berpunca daripada keputusan kerajaan meluluskan permohonan Bernas menaikkan harga runcit BPI sehingga RM3.60/kg tanpa mengambil kira harga runcit BPT yang masil kekal pada harga RM2.60/kg. Perbezaan yang ketara ini telah mengundang manipulasi dan kehilangan BPT di pasaran tempatan.

“Saranan ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional pada sidang Parlimen yang lalu, yang menggesa kerajaan untuk mengkaji semula harga runcit beras pada RM2.60/kg dan harga lantai padi pada RM1,300/ton dengan niat untuk menyelaraskan dengan kenaikan harga runcit BPI perlu diberi perhatian oleh Kerajaan,” katanya lagi.

Ronald yang juga bekas Menteri Pertanian dan Industri Makanan menegaskan sudah tiba masanya, kerana harga runcit beras dan harga padi kali terakhir dikaji ialah pada 2008.

“Industri Padi Beras negara adalah suatu industri yang penting demi sekuriti makanan negara. Kerajaan sejak sekian lama telah meletakkan sasaran pengeluaran beras negara pada nisbah 70:30 iaitu 70 peratus pengeluaran tempatan dan 30 peratus import. Mengekalkan pengeluaran pada tahap 70 peratus daripada SSL penting untuk sekuriti makan negara.

“Pengumuman Bukit Gantang ini mencerminkan ketidakseriusan kerajaan dalam menangani kos sara hidup dan memastikan industri padi beras diperkasakan,” katanya lagi.