KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan, belum ada ketetapan dibuat ke atas cadangan mewujudkan Beras Putih Malaysia MADANI.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam satu kenyataan memberitahu, cadangan akan dibincangkan secara kolektif,

Menurut beliau, cadangan itu juga akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) akan datang.

Tambah beliau, sebarang pengumuman atau ketetapan yang hendak dibuat mestilah berpandukan kepada Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) serta dimaklumkan kepada Jemaah Menteri.

Rabu lalu, Pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengumumkan, kerajaan akan memperkenalkan kategori tunggal bagi beras putih untuk menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara, dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani.

Jelas beliau, kerajaan turut menetapkan harga siling bagi beras putih itu pada kadar RM30 bagi kampit 10 kilogram (kg) manakala RM15.50 (5kg) dan RM3.50 (1kg).

Beliau berkata, penetapan harga siling baharu bagi beras berkenaan akan berkuatkuasa pada 19 Februari ini dan ia dijangka akan berada di pasaran bermula 1 Mac.