GEORGE TOWN: Ratusan umat Islam di Pulau Pinang berhimpun secara aman di perkarangan Masjid Kapitan Keling, di sini bagi menyatakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin dan dalam masa sama, mengumpul sumbangan untuk disalurkan kepada mereka.

Mereka berkumpul selepas selesai menunaikan Solat Jumaat dan membawa bendera Palestin sebagai tanda sokongan kepada Semenanjung Gaza dengan laungan takbir Allahuakbar turut bergema di situ.

Selain itu, turut diadakan bacaan Qunut Nazilah bagi mendoakan kesejahteraan umat Islam Palestin.

Timbalan Pengerusi Masjid Kapitan Keling Datuk Mohamed Aswan Seeni Mohamed Nizalath berkata himpunan itu, merupakan himpunan pertama yang dianjurkan oleh pihak masjid tersebut bagi menyuarakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin, yang berterusan dizalimi rejim Zionis.

Beliau berkata perhimpunan sebegitu, akan terus diadakan pada setiap minggu selepas Solat Jumaat di perkarangan masjid itu, sebagai usaha untuk menyatakan bantahan kepada Israel.

"Kami telah berhimpun secara aman, untuk menyatakan bantahan kepada rejim Israel yang menzalimi rakyat Palestin dan kami berharap agar Israel menghentikan kekejaman terhadap rakyat Palestin dengan segera.

"Kami juga berharap negara-negara besar terutama dalam kalangan negara Arab, dapat terus membantu masyarakat Palestin dan kita sendiri di sini (Masjid Kapitan Keling), memang buat kutipan untuk disalurkan kepada mereka di Gaza," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan itu, di sini hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Kariah Masjid Kapitan Keling Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor Khan berkata tujuan utama himpunan itu diadakan, ialah bagi menyatakan soladariti bagi menentang kekejaman Israel yang amat menyakitkan hati dan pihaknya juga bersedih dengan nasib yang menimpa rakyat Palestin.

Beliau berkata pihak Masjid Kapitan Keling, turut menganjurkan jualan amal di perkarangan masjid di mana hasil jualan amal itu akan disumbangkan kepada tabung untuk Palestin.

"Dua minggu lepas pihak masjid telah mengumpul RM20,000, di mana ia hasil kutipan solat Jumaat dan hari ini kita anjurkan jualan amal untuk Palestin.

"Apa yang menarik, bukan hanya masyarakat Islam sahaja menyumbang malah mereka yang bukan Islam iaitu Gujerat, India dan dari Cina, turut hadir dan menyalurkan sumbangan mereka kepada rakyat Palestin menerusi jualan amal ini," katanya.

Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza, dan rejim Israel sejak 7 Okt, telah mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa kedua-dua belah pihak.

-- BERNAMA