BATU PAHAT: Institusi perbankan dan kementerian berkaitan digesa untuk memberi lebih kepercayaan kepada usahawan wanita dengan cara mempermudahkan mereka memperoleh pinjaman kewangan yang lebih besar.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang membuat gesaan itu berkata, ini memandangkan usahawan wanita dilihat memiliki nilai kebolehpercayaan yang tinggi dalam membayar balik pinjaman mereka berbanding lelaki.

"Contohnya Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), kadar pembayaran yang dibuat peminjam wanita melebihi peminjam lelaki. Ini terbukti apabila AIM dapat mengutip 99.8 peratus pinjaman daripada peminjam wanita.

"Oleh itu saya minta institusi kewangan atau Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi termasuk KKDW beri keutamaan kepada wanita untuk dapat pinjaman kerana mereka ini boleh dipercayai," kata beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ketika berucap merasmikan Karnival Usahawan Wanita di MRSM Batu Pahat, pada Jumaat.

Turut hadir Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong Datuk Seri Noraini Ahmad.

Ahmad Zahid berkata dalam melahirkan lebih ramai usahawan wanita berjaya, kerajaan melalui kementerian, jabatan dan agensi perlu turun ke bawah bagi menyantuni usahawan, memandangkan golongan itu memerlukan bimbingan dan khidmat nasihat dalam menjalankan perniagaan mereka.

"Bagi wujudkan lebih ramai usahawan, jangan terikat kepada hanya sesebuah kementerian sahaja, memang kita ada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, tetapi banyak lagi kementerian terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam melahirkan usahawan," katanya.

Sebagai Pengerusi Majlis Halal Malaysia, Ahmad Zahid berkata beliau melihat potensi besar dalam industri halal dengan pasaran luar negara mencecah USD 1.3 trilion, satu peluang yang perlu direbut oleh usahawan wanita di negara ini.

Katanya kerajaan sentiasa memberikan sokongan kepada mereka yang mahu terlibat dalam industri halal, misalnya dengan program latihan profesional sijil halal oleh Halal Development Corporation ketika ini.

-- BERNAMA