KUALA LUMPUR: Negara masih memerlukan masa bagi merencanakan transformasi kesihatan secara menyeluruh, seterusnya membela nasib doktor kontrak.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Polisi, Ekonomi dan Pengurusan Kesihatan), Prof Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid berkata, mogok yang dirancang selama tiga hari bermula esok hanya akan memberi impak negatif kepada sistem kesihatan secara keseluruhan.

"Sistem kesihatan belum lagi menjalani reformasi yang dirancangkan dengan terperinci, kita tahu bahawa sejak daripada beberapa tahun lepas sudah ada desakan untuk Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan bagi menangani masalah pelantikan doktor-doktor yang terlatih tidak mengikut acuan ataupun sektor lain yang dikendalikan oleh JPA.

"Ini merupakan satu langkah yang baik tetapi belum dilaksanakan mungkin disebabkan konflik politik. Saya yakin kerajaan yang ada sekarang begitu serius menangani masalah ini.

"Pada masa yang sama kerajaan melihat kepada suatu bentuk reformasi yang lebih luas di mana mereka akan menyediakan prasarana kesihatan yang lebih baik dan juga sumber kewangan yang lebih kukuh bagi memberikan ruang kepada kerajaan melantik (doktor kontrak).

"Kita tahu bukan satu perkara yang mudah untuk memperbaiki sistem kesihatan dan ia memerlukan tindakan yang komprehensif, yang dirancang dengan baik supaya kita tidak menghadapi masalah pada masa hadapan," katanya ketika muncul sebagai tetamu program Fokus Minggu Depan.

Tambahnya, mereka yang terlibat harus faham bahawa sistem kesihatan negara memerlukan sumber kewangan yang tinggi untuk membiayai gaji dan pencen, dan berharap para doktor terbabit akan berfikir dengan lebih rasional sebelum mengambil bahagian.

"Pada masa sekarang kita cuma membelanjakan tak sampai pun lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar jadi ini menyebabkan jumlah yang diperlukan untuk membiayai gaji dan sebagainya termasuk pencen itu terhad.

"Kita juga tahu sekarang juga kita mempunyai lambakan doktor dalam negara sejak tahun 2020, di mana kita sudah pun mencapai ratio doktor ke populasi yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, yang menyarankan satu doktor ke 500 pesakit, kita sudah mencapai di bawah 500," jelasnya lagi.

Media melaporkan doktor-doktor kontrak di seluruh negara akan tetap meneruskan rancangan untuk mengadakan mogok bermula esok hingga Rabu ini meskipun selepas jemaah Kabinet bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi menangani isu doktor kontrak pada Jumaat lalu.

Fokus Minggu Depan: Doktor kontrak tegas akan teruskan mogok