SHAH ALAM: Industri automotif tempatan perlu diberi peluang untuk menghasilkan kenderaan elektrik (EV) sendiri berbanding mengimport dari negara luar.

Pakar automotif, Datuk Mohamad Dalib berpandangan, syarikat tempatan seperti Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Perusahaan Otomobil Nasional Bhd (Proton) dan Perusahan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mempunyai kepakaran dan teknologi yang membolehkan mereka menghasilkan kenderaan berkenaan.

"Kalau nak bandingkan (pembuat kereta EV luar negara), sayangilah (hasil) negara kita (kerana) kita yang kena jaga. Pepatah menyatakan, jangan beri susu pada orang lain, berilah pada anak sendiri.

"Malaysia ada Petronas, Proton dan Perodua. Beri peluang kepada mereka (hasilkan EV) kerana tiga industri ini milik kita.

"Ramai rakyat Malaysia yang bekerja (bidang automotif) di luar negara akan bantu buka peluang menaikkan ekonomi Malaysia," katanya dalam program Sinar Live bertajuk 'EV Elon Musk Akan 'Sailang' Kereta Tempatan' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.

Sebelum ini Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan kementeriannya telah meluluskan permohonan Tesla untuk mengimport EV ke Malaysia.

Syarikat berkenaan turut dilapor akan membuka sebuah ibu pejabat di Malaysia selain memperkenalkan pusat servis dan mewujudkan rangkaian pengecas Supercharger.

Dalam pada itu Mohamad berkata, kenderaan EV tidak sesuai digunakan untuk perjalanan jauh mahupun mambawa muatan yang berat.

Namun beliau menjelaskan, kenderaan tersebut amat sesuai digunakan dalam bandar bagi menyokong persekitaran yang mesra alam.

"Penggunaan EV tidak memberi kesan kepada alam sekitar, rendah karbon dan tidak akan ada pangkal pokok tepi jalan yang bertukar warna hitam kerana hirup banyak karbon.

"Namun jika dibandingkan dengan perjalanan jauh, maka saya lebih syorkan penggunaan kenderaan biasa," jelasnya. - Sinar Harian