KUALA LUMPUR: Orang ramai dan syarikat korporat diminta terus menyokong Rumah Prihatin@Grand Seasons di Jalan Pahang di sini, bagi memastikan ia kekal beroperasi.

Pengasas Rumah Prihatin Tan Sri Annuar Musa berkata, hebahan melalui media mengenai program yang dilaksanakan di Rumah Prihatin@Grand Seasons, mampu menarik sokongan dan bantuan pelbagai pihak.

"Rumah Prihatin ini rumah rakyat. Kalau rakyat tidak sokong...barang yang keluar lebih banyak daripada masuk, dikhuatiri Rumah Prihatin tidak dapat bertahan lama," katanya kepada pemberita selepas melancarkan mesin layan diri beras di Rumah Prihatin@Grand Seasons hari ini.

Program Rumah Prihatin@GrandSeasons yang mula beroperasi 15 Julai lepas, merupakan satu inisiatif yang berkonsepkan hotel kebajikan untuk rakyat terkesan akibat COVID-19, khususnya kepada warga Wilayah Persekutuan seperti golongan miskin bandar dan yang menghadapi tekanan kesihatan mental.

Annuar yang merupakan Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, sokongan pelbagai pihak boleh membantu Rumah Prihatin yang dikendalikan sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan itu, untuk menambah cawangan mesin layan diri beras selepas ini.

Mesin layan diri beras yang dilancarkan hari ini, menyediakan satu tan beras setiap hari dengan setiap penerima layak mengambil maksimum tiga kilogram beras, dengan membawa bekas sendiri.

Annuar juga menggalakkan pelbagai pihak untuk menyumbang alat mainan baharu dan terpakai yang masih elok, kepada 'Toy Bank Prihatin' yang beroperasi di Rumah Prihatin@Grand Seasons.

Beliau yang turut melancarkan Toy Bank Prihatin hari ini berkata, ia bertujuan menggalakkan masyarakat untuk peka kepada kesihatan mental kanak-kanak.

Ibu bapa daripada golongan yang memerlukan, boleh membawa anak-anak mereka ke Toy Bank untuk mendapatkan mainan secara percuma.

Annuar juga berkata, sukarelawan Jelajah Prihatin, program amal di bawah Rumah Prihatin, akan menyantuni keluarga daripada golongan yang memerlukan bagi mengenal pasti sama ada mereka mengalami depresi, memerlukan sebarang tindakan susulan dan sudah mendapat bantuan untuk pembelian barangan keperluan asas.

-- BERNAMA