Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini

Astro Awani
Januari 5, 2024 15:46 MYT
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 5 Januari 2024.
1. Korea Selatan: Orang awam di pulau sempadan barat diarah berlindung
Orang awam Korea Selatan di pulau sempadan barat Yeonpyeong dan Baengnyeong diarah berpindah ke tempat perlindungan berikutan tindakan Korea Utara melepaskan ratusan peluru meriam di pantai barat negara itu pada Jumaat, lapor Agensi Berita Yonhap.
2. Korban gempa bumi di Jepun terus meningkat, 242 masih hilang
Angka kematian akibat gempa bumi di wilayah Ishikawa di tengah Jepun meningkat kepada 92 orang dengan jumlah penduduk yang tidak dapat dikesan melebihi 200 orang, empat hari selepas beberapa siri gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter melanda wilayah itu dan kawasan sekitarnya.
3. Pemimpin Hamas beri amaran Israel sedang cuba perluas serangan
Pemimpin Hamas Khaled Meshaal dengan tegas mendakwa Israel mahu memperluaskan serangan ke atas Hamas ke luar negara dan mengembangkan lingkaran pencerobohannya.
4. Antony Blinken ke Asia Barat, runding perang di Gaza
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken terbang ke Asia Barat pada Khamis untuk meneruskan rundingan berkaitan perang di Gaza.
5. Bulan Sabit Merah gesa masyarakat antarabangsa campur tangan lindungi Hospital Al-Amal
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) merayu kepada masyarakat antarabangsa serta Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa untuk segera campur tangan bagi melindungi Hospital Al-Amal dan premisnya di Semenanjung Gaza di tengah-tengah serangan udara Israel yang berterusan.
6. Iran: Tragedi Kerman angkara pengebom berani mati - Laporan
Tragedi letupan yang berlaku di kawasan sesak di bandar Kerman, Iran pada Rabu dikatakan berpunca daripada serangan pengebom bunuh diri, lapor Anadolu memetik Agensi Berita Republik Islam (IRNA).
7. Tiga maut, kereta api bertembung di Indonesia
Sekurang-kurangnya tiga maut dalam kejadian kereta api komuter bertembung di Jawa Barat, Indonesia hari ini.
8. Thailand rancang perkenal lebih banyak produk, perkhidmatan untuk tarik pelawat Malaysia
Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) merancang untuk melancarkan lebih banyak produk dan perkhidmatan pelancongan untuk menarik rakyat Malaysia melancong di luar Bangkok dan Hatyai dengan tumpuan kepada tawaran pelancongan baharu yang menarik di kawasan tengah, utara dan timur laut.
9. Kes flu meningkat di Itali, hospital sesak
Penyebaran virus flu di Itali amat membimbangkan dengan kes di unit rawatan rapi berkaitan virus itu meningkat hampir dua kali ganda pada minggu lepas, menurut Federation of Health and Hospital Companies Itali (FIASO).
10. 'Blade Runner' Pistorius dibebas dengan parol 11 tahun selepas bunuh teman wanita
Bekas bintang paralimpik Afrika Selatan Oscar Pistorius dibebaskan dengan parol pada Jumaat, hampir 11 tahun selepas didapati bersalah membunuh teman wanitanya dalam kejadian yang menggemparkan negara itu.
#gempa bumi #Itali #berita pilihan #antarabangsa