MOSCOW: Kandungan berita disiarkan di saluran Astro AWANI dan portal astroawani.com menjadi rujukan penting untuk pelajar di Jabatan Filologi, Negara-Negara Asia Tenggara, Korea dan Mongolia, Institut Pengajian Asia dan Afrika, Moscow State University, Rusia mempelajari bahasa Melayu.

Ini kerana, menurut Ketua Jabatannya, Prof Madya Dr Kukushkina Evgeniya Sergeevna, kandungan berita di Astro AWANI menepati ciri-ciri sebagai bahan rujukan yang baik untuk dikongsi sebagai bahan pengajaran dan pertuturan bahasa.

Katanya, apabila diberi tugasan bertema yang memerlukan para pelajar membuat rujukan, beliau menjadikan berita di Astro AWANI sebagai antara bahan dan meminta pelajar melihat sendiri kandungan berita di platform itu sebelum menyiapkan tugasan masing-masing.

"Kepada saya, ini sangat penting, kerana jika bahan rujukan itu tidak menyiarkan berita yang menggunakan struktur ayat yang baik, kemas dan nahu yang betul, ia boleh memberi persepsi yang salah kepada mereka yang belajar, lebih-lebih lagi mereka yang baru mendalami bahasa Melayu.

“Mereka perlu tahu struktur ayat yang betul dan penggunaan terma tepat apabila menghasilkan misalnya, berita hal ehwal semasa atau ekonomi. Walaupun mereka bukan wartawan, tetapi penghasilan berita semasa itu tetap menjadi tema pengajaran kepada pelajar yang mengambil bahasa Melayu di Rusia. Ia sebagai latihan untuk membina ayat bahasa Melayu yang betul, teratur dan kemas.

"Oleh kerana itu, Astro AWANI menjadi pilihan rujukan apabila tugasan bertema diberikan kepada pelajar-pelajar saya,'' kata Kukushkina kepada Astro AWANI semasa ditemui di pejabatnya, di sini.

Kukushkina berkata, pengajian bahasa Melayu semakin mendapat mendapat dan perhatian kalangan pelajar Rusia apabila di peringkat Sarjana Muda misalnya, jumlah mereka yang mendaftar bahasa itu makin bertambah.

Beliau mengambil contoh, pada semester pengajian yang akan dibuka pada September kelak, terdapat antara empat hingga 10 orang pelajar yang mendaftar dan memilih bahasa Melayu sebagai subjek mereka.

"Mereka diajar bukan sahaja bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan, tetapi juga budaya Melayu. Mereka diterapkan dengan pengetahuan tentang busana Melayu, alat tradisonal Melayu serta adat-istiadat Melayu seperti perkahwinan dan sebagainya.

"Ini penting kerana pada akhirnya mereka bukan sahaja boleh bertutur dalam bahasa Melayu, tetapi mereka akan tahu apabila berada dalam kalangan orang Melayu di Malaysia, adat dan budaya juga sebahagian ilmu yang mereka belajar dan boleh amalkannya,” ujar beliau lagi.

Kata Kukushkina, beliau berbangga apabila kebanyakan pelajarnya yang fasih bertutur bahasa Melayu mendapat peluang pekerjaan dalam bidang berkaitan bahasa Melayu, sama ada di Malaysia atau di Rusia.

"Misalnya, pelajar saya, Pavel Naydenov kini menjadi pembantu khas kepada Duta Rusia di Malaysia. Begitu juga, pelajar yang lain, menyertai pidato berbahasa Melayu turut mendapat pekerjaan yang baik di pentas diplomatik,'' tambah Kukushkina.
Mengenai inisiatif mengantarabangsakan bahasa Melayu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, beliau berkata, apa yang penting ialah usaha yang baik itu perlu mendapat sokongan daripada rakyat Malaysia sendiri, selain ingatan wajar berterusan diberikan sebagai ingatan bahawa kerajaan serius menuju ke arah itu.

"Saya sebelum ini mengakui agak bimbang dengan perkembangan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia, kerana banyak bahan sebelum ini dibuat dalam bahasa Melayu, ditukar ke dalam bahasa Inggeris, misalnya, laman web di universiti, pada satu tahap tiada pilihan dalam bahasa Melayu, semuanya bahasa Inggeris. Kepada saya, ini agak mencemaskan.

"Tetapi, saya mula yakin dengan masa depan bahasa ini apabila usaha mengantarabangsakan bahasa Melayu dirintis semula untuk menyegarkan penggunaan bahasa berkenaan. Jadi, saya boleh meyakinkan para pelajar sahaya bahawa tiada apa-apa perlu dibimbangkan kerana bahasa Melayu ini akan terus digunakan sebagai bahasa ilmu, diplomasi dan bahasa antarabangsa, " ujar beliau lagi.



* Azlinariah Abdullah yang juga Editor Astro AWANI kini berada di Moscow, Rusia untuk tugasan khas cubaan memperbetulkan sudut pandang tentang Rusia