KLANG: Kerajaan dijangka mengumumkan satu atau dua inisiatif penting untuk golongan belia menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan meneliti pandangan dan cadangan anak muda sebelum menentukan langkah terbaik yang boleh dilaksanakan.
“Insya-ALLAH saya dengar, teliti, ada keupayaan kita akan lakukan yang terbaik untuk belia,” katanya ketika sesi Temu Anwar sempena Himpunan Anak Muda (HAMKA) Antarabangsa 2026, di sini, pada Khamis.
Beliau berkata selain 31 Ogos, Hari Malaysia (16 September) dan pembentangan Belanjawan 2027 pada awal Oktober turut menjadi tempoh penting bagi pengumuman berkaitan pembangunan dan kebajikan rakyat, termasuk belia.
Anwar berkata kerajaan turut mengambil kira perubahan landskap ekonomi dan pekerjaan yang menyaksikan semakin ramai anak muda menceburi ekonomi digital, perniagaan kecil-kecilan dan pekerjaan gig.
Dalam usaha menyokong golongan itu, beliau berkata kerajaan akan mempermudah akses pembiayaan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN) bagi graduan yang mahu memulakan perniagaan.
“Tadi dicadangkan bagi anak-anak yang lulus universiti nak mula perniagaan, dia kena tunggu tiga tahun, dia nak dapat pinjaman TEKUN, dia kena ada rekod.
“Tapi keadaan dah berubah. Sebab itu kita akan permudahkan,” katanya.
Selain itu, kerajaan turut mempertimbang memperluas Baucar Buku MADANI kepada mahasiswa Malaysia di luar negara.
Sebelum ini, Baucar Buku MADANI 2026 bernilai RM100 diberikan kepada pelajar yang layak sebagai usaha memperkukuh budaya membaca dan akses kepada bahan ilmu.
Anwar turut memberi perhatian terhadap keperluan golongan OKU, individu autisme dan mereka yang berdepan isu kesihatan mental dalam persediaan Belanjawan akan datang.
"Isu kesihatan mental ini permasalahan yang patut dipandang berat, jadi saya setuju, dalam Belanjawan 2027 kita akan cuba tangani sedaya-upaya tentang cabaran mereka iaitu kesihatan mental, OKU dan autisme," jelasnya.
Beliau berkata kerajaan perlu melihat keperluan golongan terbabit termasuk dari aspek kemudahan dan sokongan yang lebih baik.
Anwar menekankan perkara berkenaan perlu ditangani secara menyeluruh, termasuk aspek pendidikan serta pembentukan masyarakat yang lebih memahami dan menghargai nilai kemanusiaan.