ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Sabtu, 26 September 2020.


1) [TIDAK RASMI] PRN Sabah: GRS pimpinan Muhyiddin menang, rampas Sabah daripada Warisan

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 selepas memperoleh majoriti mudah berdasarkan keputusan tidak rasmi sehingga pukul 9 malam.

Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Hamzah Zainuddin dilaporkan berkata gabungan itu sudah memiliki kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu di Sabah.


2) PRN Sabah: Calon Ketua Menteri Sabah belum ditentukan - Bung Moktar

Calon Ketua Menteri Sabah belum ditentukan buat masa ini, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Bagaimanapun katanya, perkara itu akan dibincangkan secepat mungkin.


3) Anggota Power Rangers pun tak nak terlepas mengundi!

Kehangatan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bertambah meriah apabila pusat membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tansau, Penampang dikejutkan dengan kehadiran seorang individu berpakaian kostum watak Power Rangers.

Kelibat individu berkenaan yang mencuri perhatian orang ramai itu turut tular di beberapa platform laman sosial termasuk perkongsian di aplikasi WhatsApp berdasarkan perkongsian oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).


4) 11 kes COVID-19 di Semenanjung berpunca daripada individu pulang dari Sabah - Dr Noor Hisham

Terdapat 11 kes positif COVID-19 dikesan di Semenanjung Malaysia sepanjang 24 jam yang lalu berpunca daripada individu yang baru kembali dari negeri Sabah.

Jumlah itu lebih tinggi daripada 10 kes yang dikesan positif setelah kembali dari Sabah dari tempoh 20 hingga 25 September 2020 lepas.


5) Kakitangan positif COVID-19, kedai peralatan sukan di Sunway Pyramid ditutup

Sebuah kedai peralatan sukan di kompleks beli belah Sunway Pyramid ditutup pada Sabtu selepas seorang kakitangannya yang mempunyai rekod perjalanan ke tempat lain disahkan positif COVID-19.

Pengurusan pusat beli belah itu dalam satu kenyataan berkata, individu yang terbabit sudah dikuarantin selari dengan garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).


6) Dr Mahathir umum tidak bertanding pada PRU15

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sudah membuat keputusan bahawa beliau tidak akan lagi bertanding untuk Pilihan Raya Umum seterusnya (PRU15).

Ahli Parlimen Langkawi berusia 95 tahun itu, dalam satu wawancara bersama agensi berita Kyodo berkata, beliau bagaimanapun akan kekal dalam arena politik untuk tempoh masa yang pendek.


7) Kenyataan Ahmad Zahid cetus suasana tegang kepada UMNO - Penganalisis

Kenyataan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam isu sokongan Ahli Parlimen UMNO kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencetuskan suasana yang tidak selesa dan tegang kepada ahli parti itu sendiri.

Felo penyelidik dari Institut Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM MAPAN), Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri berkata, kenyataan Presiden UMNO itu juga gagal ditafsir dan perlu dilihat dari sudut yang luas daripada orang bawahan parti.


8) Valentino Rossi sah sertai Petronas Yamaha SRT musim 2021

Juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi mengesahkan penyertaannya bersama pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) bagi perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) musim 2021.

Pengumuman dinanti-nantikan itu muncul menjelang GP Catalan di Litar Barcelona-Catalunya, Sepanyol minggu ini, menyaksikan pelumba yang dikenali dengan jolokan 'The Doctor' itu kekal menggunakan jentera Yamaha YZR-M1 untuk tempoh sembilan musim berturut-turut tahun depan.


9) Mirnawan Nawawi dilantik pengurus skuad hoki lelaki negara

Ikon hoki negara Datuk Mirnawan Nawawi dilantik sebagai pengurus pasukan lelaki negara berkuat kuasa serta-merta bagi membantu ketua jurulatih Arul Selvaraj sehingga Sukan Olimpik Paris 2024.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal mengesahkan pelantikan itu selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Eksekutif badan induk hoki negara itu di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, petang tadi.


10) Anggota polis direman lima hari, minta RM1,000 daripada pasangan kekasih berdua-duaan dalam kereta

Dua anggota polis dan tiga sukarelawan polis direman lima hari kerana meminta suapan RM1,000 daripada sepasang kekasih yang sedang berdua-duaan di dalam kereta.

Majistret Dora Andau membenarkan kesemua suspek berusia antara 35 hingga 51 tahun itu direman selama lima hari bermula Sabtu selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kuching, Sarawak.