MALAYSIA
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini

Antara pelbagai berita tempatan yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Isnin, 19 Oktober 2020.
“Sebenarnya, ramai yang salah faham. Sepanjang Sungai Selangor ini tiada kilang-kilang haram,” kata Exco Negeri Selangor, Hee Loy Sian.
Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar Negeri Selangor itu berkata demikian sewaktu dalam sidang media di Kuala Selangor, berkaitan isu pencemaran di Sungai Selangor yang menjejaskan bekalan air bersih kepada lebih sejuta akaun pengguna.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkemungkinan menimbangkan sepenuhnya cadangan yang dikemukakan oleh parti UMNO pada Mesyuarat Muafakat Nasional (MN) yang dijadual berlangsung minggu ini bagi menyelesaikan kemelut politik negara.
Ia termasuk kemungkinan melakukan rombakan Kabinet.
Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi menggunakan perkhidmatan empat buah dron berteknologi tinggi bermula November depan.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Hal Ehwal Orang Asli, dan Hal Ehwal Selain Islam (HESI), Hee Loy Sian berkata, sebanyak dua dron ditempatkan di lembangan Sungai Langat manakala masing-masing satu di lembangan Sungai Klang dan Sungai Selangor.
Hubungan sebagai kawan baik belum tentu menjadi jaminan mendapat penyelesaian yang baik apabila melibatkan wang, khususnya apabila sesuatu hutang itu dituntut semula.
Itu yang terjadi bagi seorang pesara polis dari Bahagian Cawangan Khas Kluang, Su Kim Chiang, 54 tahun, yang ditemui mati dipercayai dibunuh kawan baik sendiri.
Penjara Kepayan dan kawasan kuarters kakitangannya di Kampung Matambai di Kota Kinabalu merupakan lokasi terbaharu yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bermula 20 Oktober hingga 2 November.
Berikut adalah lima perkara penting dalam sidang media harian perkembangan COVID-19 oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Kes kumulatif kes jangkitan di Malaysia kini mencecah lebih 21,000 kes apabila 865 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, 74.3 peratus daripada kes itu melibatkan jangkitan dari Sabah.
Mana-mana ahli UMNO yang mendahulukan kepentingan parti politik lain, boleh dikenakan tindakan displin, termasuk dibuang parti, tegas Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO Tengku Razaleigh Hamzah.
Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, tindakan itu juga boleh dikenakan terhadap pimpinan tertinggi parti, sekiranya benar ada di kalangan mereka yang mengambil pendekatan sedemikian.
Tiada sebarang bukti yang mengesahkan virus COVID-19 boleh tersebar melalui makanan atau bungkusannya, seperti yang dilaporkan media di China, baru-baru ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) virus itu hanya tersebar melalui titisan cecair atau kontak rapat dengan individu yang disahkan positif.
Sebahagian pengguna di kawasan Lembah Klang yang terjejas akibat gangguan bekalan air berikutan pencemaran di Sungai Selangor dijangka akan mula menerima semula bekalan pagi esok.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan berkata, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang telah memulakan operasi rawatan air pada jam 6 petang tadi.
Susulan pencemaran Sungai Selangor dikesan awal pagi ini, Air Selangor mengeluarkan arahan henti tugas di empat loji rawatan air (LRA) iaitu di LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang.
Berikutan itu, gangguan bekalan air tidak berjadual dijangka melibatkan 1,196,457 akaun pengguna di 1,292 kawasan dalam wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami