KUALA LUMPUR:Mana-mana ahli UMNO yang mendahulukan kepentingan parti politik lain, boleh dikenakan tindakan displin, termasuk dibuang parti, tegas Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO Tengku Razaleigh Hamzah.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, tindakan itu juga boleh dikenakan terhadap pimpinan tertinggi parti, sekiranya benar ada di kalangan mereka yang mengambil pendekatan sedemikian.

“Bagi saya, sebagaimana yang disuarakan oleh ramai ahli-ahli UMNO di peringkat bawah, sikap yang ditunjuk oleh pimpinan UMNO itu seolah-olah dia tidak hormati perjuangan UMNO.

“Nak mendahulukan pimpinan parti lain. Mengapa begitu? Jadi kalau inilah sikap mereka sebenar, mereka patut diambil tindakan, sampai boleh dibuang daripada parti kalau tidak memperjuangkan kepentingan parti,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Tengku Razaleigh berkata, adalah tidak wajar untuk mendahulukan kepentingan pihak lawan, khususnya Pakatan Harapan, sedangkan UMNO selama ini tegas tidak bersetuju dengan dasar mereka.

Beliau berkata, pada masa kini, terpulang kepada ahli parti yang mempunyai kesedaran untuk menegur pimpinan UMNO, terutamanya dalam kembali kepada landasan perjuangan sebenar.

“Apakah pimpinan daripada parti pembangkang, mesti didahulukan, dan disokong oleh kita? (Sedangkan kita tak bersetuju dengan dasar-dasar dia.

“Ini terpulang kepada mereka mempunyai sikap yang kuat memperjuangkan perjuangan parti itu sendiri. Kalau mereka fikir kita tidak mempunyai haluan, sebagaimana kehendak dan tuntutan parti dan orang Melayu seluruhnya, maka terpulang kepada ahli-ahli yang sedar, untuk bertindak,” katanya lagi.

Dan tindakan itu, ulas beliau lagi, boleh diambil kepada siapa-siapa pun, termasuk pimpinan utama UMNO.