JOHOR BAHRU:Hubungan sebagai kawan baik belum tentu menjadi jaminan mendapat penyelesaian yang baik apabila melibatkan wang, khususnya apabila sesuatu hutang itu dituntut semula.

Itu yang terjadi bagi seorang pesara polis dari Bahagian Cawangan Khas Kluang, Su Kim Chiang, 54 tahun, yang ditemui mati dipercayai dibunuh kawan baik sendiri.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, hasil soal siasat awal terhadap dua suspek berusia 37 dan 41, mangsa dipercayai memberi pinjaman kepada suspek dengan baki pembayarannya hanya tinggal RM2,500.

Jelas Ayob, mangsa yang sebelum itu dilaporkan hilang sejak 31 Ogos lalu, dipercayai sudah banyak kali memberikan pinjaman wang kepada suspek bagi tujuan perniagaan.

“Kita percaya motif (pembunuhan) berkaitan hutang. Mangsa beri hutang kepada suspek. Mangsa bukan ahlong. (Dia) pinjamkan duit untuk perniagaan. Apabila mangsa minta duit mungkin berlaku pertengkaran dan pembunuhan. Mangsa memang kenal rapat (dengan suspek), (mereka) kawan baik.

“(Hasil) soal siasatan dengan suspek, (bakinya tinggal) RM2,500. Mungkin dia pinjam banyak tapi dah bayar tetapi bakinya tinggal RM2,500. Mungkin lebih mungkin kurang, tetapi bakinya tinggal RM2,500,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Johor.

Tambahnya, lokasi mayat mangsa ditemui adalah berdasarkan hasil pandu arah yang diberikan dua suspek selepas mereka ditangkap pada 16 Oktober lalu pada jam 10 pagi di Kluang.

Lokasi mayat suspek ditemui di kebun kelapa sawit Batu 26 Jalan Kahang-Mersing iaitu 20 kilometer dari tempat mangsa dilaporkan hilang pada 31 Ogos lalu.

Manakala jarak kebun kelapa sawit tempat mayat mangsa dijumpai adalah dua kilometer dari lokasi rangka motosikal milik mangsa dijumpai di sebuah sungai di Kluang.

Jelas Ayob, terdapat kesan pada mayat mangsa, yang dipercayai dipukul sebanyak empat kali dengan objek tumpul.

Hasil siasatan lanjut terhadap dua suspek itu, pihak polis percaya pertengkaran dan pembunuhan berlaku pada 31 Ogos antara 8 malam hingga 12 malam di stor kedai tayar tempat suspek bekerja.

Bedah siasat dilakukan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Waris lelaki mangsa telah dipanggil untuk pengecaman, namun disebabkan keadaan mayat yang telah reput, proses pengecaman tidak dapat dilakukan.

Begitupun, waris mengesahkan pakaian yang dipakai mayat itu adalah pakaian terakhir yang dipakai Su Kim Chiang sebelum keluar rumah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.