ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Rabu, 4 November 2020.

1) COVID-19: 1,032 kes baharu, lapan kes kematian dilaporkan

Malaysia merekodkan sebanyak 1,032 kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam menjadikan angka keseluruhan kes positif sebanyak 35,425 kes.

2) 16 peratus tidak bersedia sambung moratorium - Kaji selidik

Kaji Selidik Literasi Kewangan Malaysia RinggitPlus (RMFLS) 2020 mendedahkan sebanyak 16 peratus responden mengakui tidak bersedia untuk menyambung semula bayaran balik pinjaman selepas tempoh moratorium berakhir pada September lalu.

3) Kerajaan belanja RM7.8 bilion selenggara banduan warga asing - KDN

Sebanyak RM7.8 bilion telah dibelanjakan kerajaan untuk menyelenggara banduan warga asing di Jabatan Penjara Malaysia untuk tempoh lima tahun (2015-2019), Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

4) Ahli Parlimen perlu jalani saringan COVID-19 setiap 2 minggu - Speaker

Dewan Rakyat telah mengambil beberapa ketetapan baharu bagi memastikan persidangan berjalan dengan selamat, selari dengan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata Yang Di-Pertuanya Datuk Azhar Azizan Harun.

5) Kelahiran wajib didaftar biarpun ibu, bapa terkandas di luar negara - KDN

Ibu atau bapa, atau mana-mana individu yang mengetahui mengenai sesuatu kelahiran di negara ini, wajib untuk melakukan pendaftaran, menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

6) KKM sasar penurunan R-naught kepada 0.5 dalam dua hingga tiga minggu lagi

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan penurunan nilai kebolehjangkitan atau R-naught kepada 0.5 dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ketika ini KKM tidak menggunakan kaedah yang sama seperti fasa awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu.

7) COVID-19: PKPB di Mukim 12 Daerah Barat Daya Pulau Pinang bermula 6 November

Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Mukim 12 Daerah Barat Daya Pulau Pinang berkuat kuasa 6 hingga 19 November ini.

8) PRU15: Tajuddin Abdul Rahman dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

9) Mahu keluar Wang KWSP? Tunggu Belanjawan 2021

Kerajaan sedia mengkaji cadangan membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dari akaun satu untuk membantu rakyat yang menghadapi kesusahan dan yang benar-benar memerlukan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perkara itu telah dibincangkan beliau bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

10) SOP rentas daerah, negeri perlu diteliti dan diperketatkan - Muhyiddin

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan agar Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menilai semula dan memperketatkan lagi prosedur operasi standard (SOP) pergerakan rentas daerah dan negeri.