ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Rabu, 29 Disember 2021.

1. Dakwaan Warisan tersasar perjuangan asal tidak benar - Shafie

Dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony bahawa parti Warisan tersasar dari perjuangan asal dengan melebarkan sayap ke Semenanjung adalah tidak benar. 

2. Sekolah vernakular tidak bercanggah Perlembagaan Persekutuan 

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan, kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular, serta penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa perantara utama di sekolah terbabit, tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. 

3. Peluang bayar balik pinjaman PTPTN menerusi tawaran menarik insentif diskaun

Tiga insentif pemberian diskaun kepada peminjam PTPTN yang diumum kerajaan menerusi pembentangan Bajet 2022 disambut baik apabila rata-ratanya mengambil pendekatan itu untuk melangsaikan baki pinjaman yang tertunggak.

4. 'Long Tiger', rakan subahat direman empat hari

Lelaki berketurunan Rohingya yang dikenali sebagai ‘Long Tiger’, bersama tiga individu dipercayai rakannya direman empat hari oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

5. Pengeluaran caruman secara besar-besaran akan jejas pasaran negara - KWSP

KWSP mengingatkan sebarang kemelesetan kepercayaan terhadapnya mungkin boleh menyebabkan pengeluaran caruman secara besar-besaran yang memberi impak negatif terhadap pasaran modal negara.

6. COVID-19: 3,683 jangkitan baharu dikesan dalam 24 jam

Sejumlah 3,683 jangkitan baharu COVID-19 dikesan di negara ini dalam tempoh 24 jam yang lalu. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, pertambahan kes baharu itu menjadikan kumulatif kes COVID-19 adalah 2,750,516 kes.

7. Lelaki tinggal kereta sebelum maut jatuh Jambatan Pulau Pinang

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai dan Jalan Perak bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 11.46 pagi.

8. Muda kini sah sebuah parti politik

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) secara rasminya telah mendapat kelulusan daripada Pertubuhan Pendaftaran (RoS) untuk bergerak sebagai sebuah parti politik. Menurut Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, kelulusan itu diberikan sejak 23 Disember yang lalu.

9. Lebih 30,000 isi rumah Selangor layak dapat bantuan pascabanjir - MB

Lebih 30,000 isi rumah di Selangor layak mendapat bantuan pasca banjir setakat ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari. Beliau memaklumkan, bantuan itu juga termasuk kepada mereka yang tidak tinggal di Pusat Pemindaan Sementara (PPS).

10. Amaran banjir: Negeri, daerah diarah tingkat kesiapsiagaan

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Daerah diarah meningkatkan kesiapsiagaan susulan Amaran Hujan Lebat Berpanjangan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).