PERAI: Seorang lelaki maut selepas terjatuh ke dalam laut dari Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 4.0 dekat sini, pada Rabu.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai dan Jalan Perak bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 11.46 pagi.

Sebaik tiba di lokasi, orang awam memaklumkan kepada pasukan penyelamat seorang lelaki telah terjun ke dalam laut.

“Mangsa yang berusia 58 tahun meninggalkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi di atas jambatan sebelum bertindak terjun ke dalam laut,” kata kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang hari ini.



Gerakan mencari mangsa dibuat, sebelum komander Operasi menerima maklumat daripada nelayan yang menemui mangsa pada pukul 12.11 tengah hari.

"Mangsa telah ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh nelayan dan diserahkan kepada pihak polis marin untuk tindakan lanjut." kata kenyataan itu lagi.

Operasi ditamatkan pada pukul 12.26 tengah hari.