ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Khamis, 30 Mac 2023.

1. Sah! Angkat sumpah Ketua Menteri Melaka baharu Jumaat ini

Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Melaka mengesahkan Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka akan diadakan Jumaat ini.

2. Isteri Musa Hassan fail permohonan cerai

Krisis rumah tangga bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan kembali diperkatakan apabila isterinya memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada Khamis.

3. Ikan buntal tidak dibenarkan dijual - KP Kesihatan

Ikan buntal yang mengandungi toksin berbahaya sebenarnya tidak dibenarkan dijual, tegas Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

4. SRC: Boleh semak atau tidak, nasib Najib diketahui esok

Mahkamah Persekutuan di sini pada Jumaat akan memutuskan sama ada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibenarkan untuk menyemak sabitan dan hukumannya dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd atau sebaliknya.

5. Maut kebakaran: 'Anak-anak minta baju raya warna hitam' - Ibu

Ibu kepada empat beradik yang maut dalam kebakaran rumah di Kampung Sabak Awor terkilan tidak dapat memenuhi hasrat anaknya yang mahu baju raya berwarna hitam.

6. Larangan hadir acara rasmi: Sanusi dakwa ada arahan bertulis daripada Kabinet

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan terdapat arahan bertulis yang melarang beliau menghadiri acara rasmi kerajaan Persekutuan.

7. Lawatan rasmi: PM Anwar tiba di Beijing

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Beijing, bagi meneruskan lawatan rasmi empat hari beliau ke China.

8. Sulaiman menangis tinggalkan pejabat rasmi Ketua Menteri Melaka

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali tidak dapat menahan sebak ketika menyampaikan ucapan kepada kakitangannya pada hari terakhir memasuki pejabat di Kompleks Seri Negeri, hari ini. 


9. Malaysia beri keutamaan kepada China kerana 'ekonomi raksasa' - PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia dan China juga mempunyai hubungan dagangan yang baik dan memiliki hala tuju yang tidak menimbulkan sebarang masalah.

10. Enam stesen LRT laluan Ampang - Sri Petaling dihentikan

Operasi perkhidmatan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) di enam stesen LRT Laluan Ampang-Sri Petaling akan dihentikan bermula Ahad ini membabitkan stesen Bandaraya, stesen Sultan Ismail, stesen PWTC, stesen Titiwangsa, stesen Sentul dan stesen Sentul Timur.