ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 8 September 2023.


1. Tunku Ampuan Najihah mangkat

Bekas Tunku Ampuan Negeri Sembilan, Tunku Ampuan Najihah Almarhum Tunku Besar Burhanuddin mangkat pada jam 6.53 pagi tadi di Hospital Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur.



2. Kembara Kenali Borneo: Agong, Permaisuri tiba di Brunei

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Maimunah Iskandariah tiba di Brunei melalui Pos Kawalan Imigresen Labu Temburong, malam tadi.


3. Kelantan hadiahkan banglo bernilai RM428,500 kepada Qayyim

Kerajaan negeri Kelantan menghadiahkan sebuah banglo kepada Johan Qari Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-63, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi.


4. Keputusan DNAA terhadap Zahid tidak boleh dibahas dalam sidang khas Dewan Rakyat - PM

Keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Presiden UMNO,Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan tidak boleh dibahas dalam sidang khas Dewan Rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


5. Kes Ahmad Zahid: 'Keputusan bekas Peguam Negara, bukan arahan saya' - PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan, beliau tidak pernah campur tangan dalam kes mahkamah melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.


6. Saya tiada hak buat ulasan, tanya Peguam Negara - Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi kepercayaan kepada Peguam Negara yang baharu dan pasukan pendakwa raya untuk memberi penjelasan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskannya (DNAA) dalam kes membabitkan dana Yayasan Akalbudi.


7. Fadhlina nafi KPM keluarkan lima hadis

"Tidak betul," tegas Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berhubung dakwaan kementerian telah mengeluarkan lima hadis daripada Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi.


8. Dasar, inisiatif bakal diumum dalam KSP RMKe-12 berpandukan keperluan, keutamaan rakyat - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dasar dan inisiatif yang bakal beliau umumkan pada Isnin semasa pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMKe-12) di Dewan Rakyat bukan sahaja dibentuk berdasarkan pemikiran di kementerian-kementerian.


9. Kementerian Ekonomi serah dokumen Kajian Separuh Penggal RMKe-12 kepada PM hari ini

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli telah menyerahkan dokumen Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMKe-12) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di pejabat Perdana Menteri hari ini.


10. Jabatan Peguam Negara masih lagi teliti bukti baharu kes Ahmad Zahid

Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan pihaknya bersama pasukan siasatan masih lagi meneliti kesemua bukti baharu kes penyelewengan dana Yayasan Akalbudi (YAB), yang membabitkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.