ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Khamis, 2 Mei 2024.


1. Siti Bainun kekal bersalah abai, aniaya Bella

Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali didapati kekal bersalah oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini, atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down, dikenali Bella, tiga tahun lalu. 



2. Papagomo didakwa hasut, datangkan kebencian terhadap Agong 

Blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menghasut yang mendatangkan kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.


3. ADUN Sungai Bakap stabil, masih di ICU

Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff dari parti Pas yang mengalami keradangan dalam perut dan ditidurkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Seberang Jaya, di Butterworth, dilaporkan stabil.


4. Kesan sampingan vaksin: KKM akan dapatkan penjelasan AstraZeneca

Kementerian Kesihatan (KKM) akan mendapatkan penjelasan daripada firma farmaseutikal AstraZeneca berhubung kesan sampingan vaksin COVID-19 seperti yang dilaporkan media antarabangsa baru-baru ini.


5. Tahanan rumah Najib: Mahkamah Tinggi tolak permohonan afidavit Tengku Zafrul

Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan kebenaran Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memfailkan afidavit bagi memperbetulkan fakta didakwa tidak tepat dalam afidavit Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkaitan Titah Adendum dalam kes pengampunan Datuk Seri Najib Razak.


6. Jakim buka talian khas terima aduan hina Islam

Jakim telah mewujudkan talian khas 24 jam sebagai platform untuk menyalurkan aduan berkaitan isu penghinaan terhadap agama Islam termasuk yang dicetuskan menerusi laman media sosial.


7. PM arah Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia jalan tugas serta-merta

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) melaksanakan tugas di sempadan utama negara, berkuat kuasa serta-merta.


8. Microsoft umum pelaburan AI, infrastruktur awan AS$2.2 bilion di Malaysia

Microsoft mengumumkan untuk melabur AS$2.2 bilion (RM10.48 bilion) dalam kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan infrastruktur awan di Malaysia, untuk tempoh empat tahun akan datang.


9. Kerajaan Negeri, Persekutuan perlu lebih fokus noktahkan miskin tegar di Kelantan - Anwar

Kerajaan Negeri Kelantan dan kementerian berkaitan perlu lebih fokus dalam usaha menoktahkan miskin tegar di negeri itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


10. Piala Thomas: Malaysia jinakkan Jepun untuk mara ke separuh akhir

Malaysia mara ke separuh akhir Piala Thomas 2024 selepas menundukkan Jepun 3-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Hi-Tech, Chengdu, China.