Berita Terkini ASEAN25: Kecam Israel seperti dunia tolak dasar aparteid - Ramaphosa

Ramaphosa berkata, situasi yang menimpa Gaza itu adalah satu bentuk pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di depan mata dunia.
PUTRAJAYA: Malaysia dan Afrika Selatan sepakat memperkukuh kerjasama dalam memperjuangkan keamanan sejagat serta menentang penindasan terhadap rakyat Palestin.
Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa berkata, situasi yang menimpa Gaza itu adalah satu bentuk pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di depan mata dunia.
“Apabila kami melihat pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku di Gaza, kami tidak sanggup, adalah wajar untuk kami bertindak sebagaimana dunia pernah bertindak menentang aparteid.
“Keputusan kami mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap Israel berhubung konflik di Gaza ini berasaskan keyakinan moral seperti kami lalui ketika menentang dasar aparteid,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena lawatan rasminya ke Malaysia untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, di sini, pada Sabtu.
Ramaphosa berkata, tindakan undang-undang itu perlu diambil walaupun menerima banyak tentangan dan berisiko tinggi.
"Atas sebab itu, kami sangat hargai sokongan Malaysia terhadap tindakan kami. Kami akan terus berjuang kemerdekaan untuk rakyat Palestin. Dulu dunia memperjuangkan keadilan untuk kami apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) isytiharkan dasar aparteid sebagai jenayah terhadap kemanusiaan,” ujarnya.
Sementara itu, Anwar pula menyambut baik hubungan antara Malaysia dan Afrika Selatan dengan menyifatkan, ia bukan hanya berteraskan kepada jalinan diplomatik semata-mata.
Sebaliknya, kata Anwar, ia berpaksikan nilai kemanusiaan sejagat dalam menolak kezaliman dan menegakkan keadilan untuk semua.
“Presiden Ramaphosa dan legasi Nelson Mandela mewakili suara nurani dunia yang memperjuangkan maruah, kebebasan dan keadilan. Malaysia berdiri bersama Afrika Selatan dalam usaha mempertahankan hak rakyat Palestin yang terus dizalimi,” katanya.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin turut membincangkan usaha memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan, pertanian, pendidikan, pertahanan dan penyelidikan.
Antara lain ialah memperkukuh peranan kedua-dua negara di peringkat ASEAN, BRICS dan G20 sebagai jambatan baharu kepada susunan dunia yang lebih seimbang.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

