Berita Terkini ASEAN25: Malaysia akan terus teroka pasaran baharu sebagai negara perdagangan - PM Anwar

Anwar berucap pada Sidang Kemuncak Perniagaan Bloomberg di ASEAN di sini malam tadi. -- fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia, sebagai sebuah negara perdagangan, akan terus meneroka pasaran baharu dan memperkukuh hubungan dengan ekonomi utama bagi mengekalkan pertumbuhan serta pelaburan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata Malaysia harus mengekalkan hubungan yang seimbang dengan Barat dan Timur, mengeratkan lagi silaturahim dengan Amerika Syarikat dan pada masa sama, membina pakatan lebih kukuh dengan China serta rantau lain.
"Saya baru sahaja berbual dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan pada esok pagi, saya akan bersarapan dengan Perdana Menteri China Li Qiang."
"Ya, kita mempunyai perbezaan namun kita tidak boleh dipaksa atau diarah untuk mengikut mana-mana kepentingan tertentu kecuali bagi mewakili kepentingan sendiri dan memberi tumpuan kepada asas ekonomi, yang bermaksud perniagaan dan pelaburan," katanya pada Sidang Kemuncak Perniagaan Bloomberg di ASEAN di sini malam tadi.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata Malaysia juga akan memperluas kerjasama dengan Kanada, Afrika Selatan dan Amerika Latin sebagai sebahagian daripada usaha mempelbagaikan peluang perdagangan serta pelaburan.
Beliau mengulangi gesaan agar ASEAN memperkukuh perdagangan dan kerjasama intra-serantau terutama dalam bidang pendigitalan, keterhubungan serta keselamatan maritim bagi membuka potensi ekonomi rantau ini sepenuhnya.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

