Berita Terkini ASEAN25: Putrajaya akan bangkitkan insiden pelepasan suar dengan China - PM Anwar

Malaysia akan membangkitkan dengan Beijing mengenai insiden pesawat tentera China yang didakwa melepaskan suar berhampiran pesawat Australia di Laut China Selatan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia akan membangkitkan dengan Beijing mengenai insiden pesawat tentera China yang didakwa melepaskan suar berhampiran pesawat Australia di Laut China Selatan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia akan membangkitkan isu insiden pesawat tentera China dengan Beijing selepas fakta sebenar disahkan.
- Anwar menegaskan Malaysia menghargai hubungan dengan China tetapi tetap berhak bersuara terhadap tindakan yang menjejaskan keamanan serantau.
- Beliau menekankan pendekatan diplomatik dan berhikmah perlu diutamakan bagi mengelakkan ketegangan di rantau ini.
“Sebaik sahaja kita mengesahkan fakta sebenar, kita akan membangkitkan isu tersebut. Penglibatan (bersama negara China) tidak bererti kita merestui sebarang keterlaluan, dan pihak China maklum akan perkara itu.
“Dalam perbualan peribadi saya dengan Presiden Xi Jinping, saya telah menjelaskan perkara ini dengan tegas,” katanya kepada pemberita selepas tamat Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan.
Anwar berkata Malaysia, walaupun sebuah negara kecil, tetap mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan terhadap sebarang tindakan yang menjejaskan keamanan dan kestabilan rantau ini.
Beliau menegaskan bahawa sebarang tindakan balas mesti dilakukan secara berhikmah serta mengekalkan pendekatan diplomatik bagi mengelakkan sebarang ketegangan tidak perlu di peringkat serantau.
“Kita perlu kebijaksanaan untuk tidak bertindak secara konfrontasi tanpa keperluan, namun kita harus membangkitkan perkara ini apabila fakta telah disahkan," ujar beliau.
Menurut laporan Kementerian Pertahanan Australia minggu lalu, sebuah jet pejuang China dilaporkan melepaskan suar berhampiran pesawat rondaan maritim Australia di Laut China Selatan.
Pesawat Australia itu dilaporkan sedang menjalankan pemantauan rutin di kawasan berkenaan sebelum kejadian tersebut berlaku, mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan penerbangan di rantau itu.
Sementara itu, pihak tentera China mendakwa tindakan pesawat mereka adalah tindak balas terhadap “pencerobohan” pesawat Australia ke ruang udaranya berhampiran Kepulauan Paracel.
Menurut laporan Reuters, China menyatakan bahawa pasukan tentera laut dan udara telah dikerahkan untuk memantau serta mengusir pesawat berkenaan daripada kawasan tersebut.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

