Berita Terkini ASEAN25: Thailand garis empat pendirian utama situasi di Myanmar

Beliau berkata, antara pendirian berkenaan ialah menyalurkan bantuan kemanusiaan sebagai langkah penting ke arah dialog inklusif dan keamanan berpanjangan di Myanmar. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Thailand menggariskan empat pendirian utama berhubung situasi di Myanmar, kata jurucakap Kementerian Luar Thailand Nikorndej Balankura.
Beliau berkata pendirian berkenaan ialah menyalurkan bantuan kemanusiaan sebagai langkah penting ke arah dialog inklusif dan keamanan berpanjangan di Myanmar; menyeru pilihan raya yang inklusif, adil dan telus sambil mengekalkan dialog di luar pilihan raya sebagai sebahagian daripada proses damai.
Selain itu katanya, Thailand menyokong usaha memperkukuh penglibatan konstruktif dengan negara anggota ASEAN, dalam kalangan pihak berkepentingan Myanmar serta rakan luar blok berkenaan; dan meningkatkan keberkesanan dan kesinambungan mekanisme ASEAN berhubung Utusan Khas mengenai Myanmar.
Nikorndej berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang akan bermula esok.
Semalam, Thailand yang diwakili Menteri Luar turut menghadiri mesyuarat konsultasi tidak rasmi lanjutan mengenai pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC).
Mengulas mengenai pilihan raya umum Myanmar akan datang, Nikorndej berkata Thailand secara konsisten menyokong keperluan proses pilihan raya yang inklusif dan telus, sambil menekankan bahawa perkara itu antara elemen penting dalam proses perdamaian di Myanmar.
Beliau berkata walaupun Thailand menganggap pilihan raya Myanmar sebagai keputusan dalaman negara berkenaan, penting untuk berinteraksi dengan Myanmar bagi memastikan pilihan raya itu diadakan secara inklusif.
Penglibatan sedemikian katanya, perlu meliputi penghantaran pemerhati pilihan raya dari negara anggota ASEAN.
Nikorndej berkata Thailand menyokong langkah itu, namun memberikan peringatan bahawa pemerhatian tidak bermaksud pengiktirafan.
"Menjadi pemerhati bermaksud kita perlu memastikan ketelusan, keterangkuman dan keselamatan pilihan raya, dan tidak ada kaitan dengan memberikan pengesahan terhadap pilihan raya itu sendiri," katanya.
Pihak berkuasa Myanmar mengumumkan tarikh pilihan raya umum pada 28 Dis.
Sementara itu, Nikorndej berkata mesyuarat berkenaan belum memuktamadkan idea untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan Utusan Khas mengenai Myanmar.
"Perkara ini tertakluk kepada perbincangan lanjut, namun secara umumnya terdapat sokongan terhadap idea ini," katanya.
Utusan Khas Pengerusi ASEAN mengenai Myanmar diwujudkan pada 2021 sebagai sebahagian daripada 5PC yang dipersetujui pemimpin ASEAN pada April 2021, bertujuan menangani krisis di Myanmar selepas rampasan kuasa pada Februari tahun yang sama.
Peranan utusan khas itu termasuk menyokong pelaksanaan 5PC, memudah cara dialog dalam kalangan pihak-pihak dan menyelaraskan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Myanmar.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


