NATIONAL
Penghormatan terakhir dan solat jenazah buat Allahyarham Mohd Zahir

Jenazah Mohd Zahir disembahyangkan di Masjid Kem Wardieburn, Jalan Genting Kelang, Kuala Lumpur, 5 Sept, 2019. --fotoBERNAMA
Jenazah Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya yang terkorban ketika melakukan demonstrasi di Kem Lok Lawi, Kota Kinabalu, Sabah, tiba di perkarangan Masjid Al Fatih di Kem Wardieburn, Setapak, kira-kira jam 1.48 pagi tadi.
Ketibaan jenazah disambut kira-kira 2,000 hadirin termasuk Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Panglima Angkatan Tentera Darat Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, ahli keluarga Allahyarham serta pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memberi penghormatan terakhir.
Urusan pengebumian diuruskan sepenuhnya oleh ATM.
Jenazah Allahyarham Mohd Zahir yang selesai disolatkan pada 2.43 pagi itu kemudiannya dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Tambun, Ipoh, untuk dikebumikan selepas solat subuh.
Mohd Zahir, 36 tahun, anak kepada pelakon veteran AR Badul, meninggal dunia pada pukul 9.20 pagi Rabu di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Jenazah Mohd Zahir ketika diusung untuk dikebumikan di kampung halamannya di Ulu Kinta, Perak selepas selesai disolatkan di Masjid Kem Wardieburn, Jalan Genting Kelang, awal pagi ini, 5 Sept, 2019. --fotoBERNAMA
Terdahulu, pegawai komando daripada Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas itu dipercayai tertembak ketika membuat aksi gimik dalam satu demonstrasi sempena penubuhan 5 Divisyen di Kem Lok Kawi.
Mohd Zahir bertugas di Kem Sungai Udang, Melaka dan berasal dari Kuala Lumpur. Allahyarham meninggalkan isteri, Nour Shafinar Harun, dan lima anak berusia antara lima bulan dan sembilan tahun.
Sementara itu, Bernama melaporkan Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agong, Kol (B) Nazim Mohd Alim Nazim yang turut hadir di masjid tersebut berkata, beliau mewakili Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyampaikan ucapan takziah kepada anggota keluarga Mohd Zahir.
"Saya juga menyampaikan sumbangan bagi pihak Seri Paduka Baginda berdua buat isteri Allahyarham," katanya ketika ditemui pemberita.

AR Badul ditenangkan anggota keluarganya ketika menunggu jenazah anaknya tiba di Masjid Kem Wardieburn. --fotoBERNAMA
Ditemui pemberita di masjid sama, Nour Shafinar, 31 tahun, berkata: “Saya rasa bertuah sangat hidup dengan dia (Mohd Zahir) walaupun Allah pinjamkan dia sekejap sahaja.”
Katanya, beliau mengetahui suaminya meninggal dunia selepas menerima panggilan telefon daripada seorang pegawai tentera dari Sabah.

Nour Shafinar (tiga, kiri) kelihatan sebak ketika masih menunggu jenazah suaminya tiba di Masjid Kem Wardieburn. --fotoBERNAMA
“Cuma berita itu sahaja saya terima dan tidak tengok lagi apa-apa video mengenai kejadian itu.
"Kali terakhir saya jumpa Allahyarham ialah pada 26 Ogos lepas sebelum dia ke Sabah,” katanya yang kelihatan amat sedih.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami