BARANGKALI motivasi untuk berniaga secara kecil-kecilan bermula sebagai hobi ataupun disebabkan desakan hidup untuk menampung sedikit sebanyak kos sara hidup yang tinggi di ibu kota.

Atau mungkin juga perniagaan itu sebagai permulaan untuk berjinak dengan dunia bisnes dengan harapan apabila sudah lebih stabil, bolehlah berhenti makan gaji.

Ada kemungkinan juga penglibatan dalam perniagaan itu sekadar ikut trend – semakin hari semakin mudah untuk cuba berniaga tanpa modal besar lebih-lebih lagu berurus niaga secara atas talian.

Tidak ketinggalan ada juga yang terikut-ikut untuk mencuba menjual sesuatu di platform media sosial.

Perniagaan yang asalnya dengan menjual kepada ahli keluarga dan rakan, kemudiannya berkembang kepada kenalan baharu sebagai pelanggan tetap.

Daripada perasaan teruja dengan pendapatan bersih RM100 seminggu meningkat pada RM100 sehari.

Dari WhatsApp ke Facebook, medium jualan menjalar ke Instagram atau platform e-dagang seperti marketplace dalam talian dari Lelong.my, Mudah.my, Shopee, 11Street, Carousell dan Etsy yang boleh sampai ke pelbagai pelosok dunia.

Tidak lupa juga untuk mereka yang mendagangkan perkhidmatan seperti di platform Maideasy, Kaodim, ServisHero, Fiverr, Upwork dan pelbagai lagi mengikut kemahiran dan perkhidmatan yang ingin ditawarkan.

Kesemua platform ini memang disediakan untuk memudahkan peniaga dari pengawalan stok, pengumpulan maklumat pelanggan, sistem penghantaran produk kepada pelanggan, cara pemasaran dan komunikasi yang jelas sama ada berkenaan spesifikasi produk ataupun harga sehinggalah kepada penerimaan invois oleh pelanggan, cara peniaga menerima bayaran, pengawalan aliran tunai dan bermacam lagi langkah yang perlu untuk menghabiskan transaksi perniagaan.

Tidak lagi perlu untuk para peniaga bersusah-susah belajar mengenai cara asas berniaga melalui percubaan dan kesilapan.

Para peniaga kini boleh fokus untuk memberi yang terbaik dari segi penawaran produk dan perkhidmatan sehingga menjadi berjaya.

Tidak juga kurang panduan yang membantu mencetuskan idea dan cara untuk meningkatkan efisiennya kita menjalankan bisnes.

Jadi sekiranya keusahawanan menjadi semakin mudah dan bertambah menjadi norma hidup, memang sudah tiba masanya bidang itu diberi akses yang lebih menyeluruh – malah ia patut diberi peluang untuk mencabar anak muda kita dari bangku sekolah untuk pertimbang dan perluaskan pengalaman mereka untuk mencari wang saku sendiri.

Walaupun ia tidak susah untuk memahami daripada meluangkan masa memuat naik gambar selfie ataupun wefie, lebih produktif kalau penceritaan berkenaan produk dan perkhidmatan yang sedang diusahakan sebagai kandungan sosial media.

Jadi mungkin yang perlu diketengahkan di sini adalah menerusi perkembangan teknologi yang pesat dengan peredaran masa kini telah membolehkan keusahawanan diajar di dalam kelas.

Kita tidak perlu lagi membahaskan sama ada keusahawanan itu sesuatu yang lahir secara semula jadi dalam diri seseorang ataupun mampu diajar dan dididik.

Sebab utamanya persoalan ini hangat dibahaskan sebelum ini adalah kekurangan bahan didikan.
Bagaimana untuk mengajar daya tahan, daya saing, disiplin ataupun bakat keusahawanan yang seakan elusif?

Namun dengan segalanya yang semakin mudah di zaman internet kini, masyarakat tiada lagi alasan untuk mengetepikan peluang keusahawanan sebagai satu pengalaman wajib untuk anak muda.

Malah ianya memberikan anak-anak lebih peluang untuk menganalisis diri dan membina sifat-sifat keusahawanan menangani pelbagai cabaran yang unik dalam dunia perniagaan dalam persekitaran yang terkawal.

Pembudayaan keusahawanan mampu membina pemikiran sukses yang jarang dicapai oleh subjek kurikulum pendidikan yang lain disebabkan nilai praktikal yang cukup berharga.

Apa kata kita kongsikan petua kejayaan ini dengan anak-anak dengan kadar segera?

Minggu depan: Bantuan aliran tunai untuk peniaga kecilan




* Low Ngai Yuen merupakan Ketua Pegawai Eksekutif di GEMA iaitu sebuah NGO berdaftar dan antara usaha GEMA adalah membolehkan pemindahan teknologi dengan para usahawan kecil.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.