ASHGABAT: Selepas menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di Kazan, Rusia, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memulakan lawatan rasmi selama dua hari ke Ashgabat, Turkmenistan bermula malam ini.
Lawatan rasmi yang dibuat sehingga esok dibuat atas jemputan Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedov.
Anwar masih diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Ekonomi, Datuk Seri Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta pegawai daripada Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan Kementerian Ekonomi.
Menurut Duta Besar Malaysia ke Turkmenistan, Suhaimi Tajuddin, Perdana Menteri dijangka tiba di Ashgabat pada 8.30 malam waktu tempatan hari ini dan akan memulakan program lawatan dengan menghadiri Majlis Makan Malam Bersama Diaspora Malaysia dan Sahabat Malaysia di Hotel Yyldyz.
Selepas itu, beliau berkata, lawatan akan disambung pada Jumaat dengan Majlis Sambutan Rasmi oleh Presiden Turkmenistan di Istana Presiden, diikuti mesyuarat empat mata dan mesyuarat dua hala antara kedua-dua pemimpin.
"Selain itu, kedua-dua pemimpin juga dijadual menyaksikan pemeteraian kenyataan bersama serta pertukaran perjanjian dan memorandum persefahaman yang telah dipersetujui antara kedua-dua kerajaan," katanya dalam satu sidang media di Ashgabat.
Kedua-dua pemimpin dijangka mengadakan sidang media bersama selepas selesai program rasmi berkenaan.
Selain mengukuhkan hubungan dua hala, kedua-dua pemimpin turut dijangka meneroka potensi kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pengajian tinggi serta pelancongan.
Tambah Suhaimi, usaha itu juga dijangka membuka ruang lebih luas kepada syarikat Malaysia untuk meningkatkan eksport, khususnya dalam industri halal dan produk berasaskan kelapa sawit.
Selesai Majlis Sambutan Rasmi tersebut, Perdana Menteri turut dijadual menunaikan solat Jumaat di Masjid Gypjak bersama Mufti Turkmenistan Yalkap Hojagulyyev dan jemaah tempatan.
Selepas itu, beliau akan menghadiri Forum Turkmenistan-Malaysia sempena ulang tahun ke-30 kerjasama dua hala dalam sektor minyak dan gas yang akan berlangsung di Dewan Perdagangan dan Industri Turkmenistan.
Anwar juga dijadual mengadakan sidang media sebelum berlepas pulang ke Malaysia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ashgabat.
Pada 2025, jumlah dagangan antara Malaysia dan Turkmenistan bernilai RM75.80 juta dengan lebihan dagangan memihak kepada Malaysia sebanyak RM75.20 juta.
Eksport Malaysia ke negara Asia Tengah itu didominasi oleh sektor pertanian yang merangkumi 68.8 peratus daripada keseluruhan eksport, termasuk produk kopi.