KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menghantar surat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini untuk memohon supaya pembekuan akaun parti itu dapat dibatalkan.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, meskipun siasatan masih dijalankan ketika ini, namun, sekiranya tiada sebarang penyelewengan dan salah guna kuasa selepas disemak SPRM, akaun parti itu tidak perlu dibekukan.

"Bersatu akan hantar surat hari ini kepada SPRM supaya perintah pembekuan akaun Bersatu ini dapat dibatalkan.

"Kami sebagai pertubuhan politik tiada duit nak bayar gaji pentadbiran bukan untuk sebulan tetapi sepanjang masa.

"Kalau kata untuk tiga bulan, susah pegawai saya tiada gaji nak maintain pejabat dan sebagaianya. Ia memberi kesan kelicinan pengurusan parti untuk negara dalam Perikatan Nasional (PN)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Pemukiman Ahli Dewan Rakyat Perikatan Nasional di sebuah hotel di ibu negara pada Khamis.

Beku akaun Bersatu: Bersatu hantar surat kepada SPRM untuk batalkan

Tambah Muhyiddin, sekiranya pembekuan berterusan, ia dikhuatiri menganggu perjalanan Bersatu dan PN sebagai sebuah parti politik.

"Sebab itu kita minta selepas disemak (SPRM), didapati tiada apa-apa penyelewengan salah guna kuasa, tiada wang masuk akaun individu, jadi SPRM segera buat keputusan dibatalkan (pembekuan akaun Bersatu).

"Ini penting supaya pentadbiran parti Bersatu dapat berjalan secara lancar supaya pembayaran gaji pekerja dan komitmen Bersatu dapat dilunaskan mengikut jadual," katanya lagi.

Mengulas mengenai dakwaan salah laku terhadap parti itu melibatkan dana Pakej Ransangan Ekonomi, tegas Muhyiddin, tuduhan itu tidak benar.

"Merujuk bank akaun Bersatu dibekukan, saya ingin menegaskan Bersatu tidak menerima sebarang wang daripada dana Pakej Ransangan Ekonomi bernilai RM92.5 billion seperti didakwa sesetengah pihak.

"Pada masa ini SPRM telah memperolehi penyata kewangan dan dokumen berlenaan kewangan Bersatu, saya percaya siasatan SPRM dijalankan profesional akan membersihkan nama Bersatu," katanya lagi.

Bekas Perdana Menteri itu menegaskan, dasar ditetapkan Bersatu sentiasa memastikan sumbangan kepada parti itu dimasukkan ke dalam akaun parti dan bukan akaun peribadinya mahupun pegawai Bersatu.

"Saya tegaskan dasar ditetapkan oleh Bersatu setiap sumbangan kepada parti mesti dimasukkan ke dalam akaun parti, tidak ada dana politik sumbangan dimasukkan ke dalam akaun peribadi saya atau pegawai parti saya atau mana-mana organisasi yang mempunyai kepentingan.

"Saya ingin menegaskan ini telah disemak SPRM saya percaya siasatan kepada penyata akaun Bersatu akan mendapati tidak ada wang berbilion ringgit dalam akaun parti, kalau ada itu pelik juga kaya raya kita," ujarnya.

Tegas Muhyiddin, Bersatu telah menyerahkan beberapa akaun parti itu yang telah diaudit iaitu akaun bagi tahun 2020, 2021 kepada SPRM.

"Jadi, jumlah wang masuk dan baki wang dalam Bersatu, semuanya ada dalam pengetahuan SPRM, saya yakin rekod keluar masuk wang dalam Bersatu adalah teratur dan sumber sah di sisi undang-undang," kata Ahli Parlimen Pagoh itu lagi.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan membekukan dua akaun parti Bersatu.

Menurutnya, pembekuan akaun itu bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan berhubung salah laku yang didakwa dilakukan pemimpin parti tersebut dipercayai melibatkan lebih RM300 juta.