Skip to main content

Malaysia

Kerajaan bakal bina "linkage" RTS Link-KTMB Komuter bernilai RM60 juta

JOHOR BAHRU, 5 Mei -- Perkhidmatan Rapid Transit System (RTS) Link kini memasuki fasa percubaan, menandakan kemajuan penting dalam usaha menghubungkan Johor Bahru dan Singapura dengan lebih lancar serta mengurangkan kesesakan di Tambak Johor.  Projek sepanjang kira-kira empat kilometer ini merangkumi dua stesen utama iaitu Bukit Chagar Station dan Woodlands North Station, lengkap dengan kemudahan imigresen bersepadu bagi memudahkan pergerakan penumpang.  RTS Link dijangka beroperasi sepenuhnya pada 1 Januar
Loke berkata linkage itu dijangka mengambil masa kira-kira 12 bulan untuk disiapkan dan akan memendekkan jarak berjalan kaki antara stesen komuter dengan RTS Link. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

JOHOR BAHRU: Kerajaan akan membina satu sambungan terus atau linkage antara RTS Link Bukit Chagar dan perkhidmatan KTMB Komuter yang melibatkan kos RM60 juta bagi memperkukuh integrasi pengangkutan awam serta memudahkan pergerakan penumpang ke sistem transit itu.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata projek tambahan itu telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Ekonomi dan akan dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan dalam masa terdekat.

Beliau berkata sambungan berkenaan akan membolehkan penumpang yang menggunakan perkhidmatan KTMB Komuter ke Stesen RTS Bukit Chagar menggunakan jejambat tanpa perlu membuat pusingan yang jauh melalui laluan sedia ada di JB Sentral.

“Apabila siap nanti, penumpang yang menggunakan KTM Komuter dan berhenti di stesen KTMB Komuter boleh terus sambung perjalanan ke Stesen RTS Bukit Chagar.

“Ini akan memudahkan ramai penumpang. Kita nak menggalakkan supaya pengguna RTS Link menggunakan pengangkutan awam untuk ke Bukit Chagar ataupun keluar daripada Bukit Chagar,” katanya kepada pemberita selepas lawatan media ke projek RTS Link di Bukit Chagar, di sini hari ini.

Loke berkata linkage itu dijangka mengambil masa kira-kira 12 bulan untuk disiapkan dan akan memendekkan jarak berjalan kaki antara stesen komuter dengan RTS Link.

Beliau berkata kerajaan juga sedang merangka pelaksanaan Stage Bus Service Transformation (SBST) 2.0 yang antara lain melibatkan penambahan sekurang-kurangnya 200 bas baharu bagi menyediakan perkhidmatan dari kawasan perumahan sekitar Johor Bahru ke Bukit Chagar.

“Apabila RTS mula beroperasi akan ada lebih banyak bas. Kita sedang menyediakan SBST 2.0 dan melihat sekurang-kurangnya lebih 200 bas baharu untuk meliputi kawasan perumahan sekitar Johor Bahru, kebanyakannya menuju ke Bukit Chagar,” katanya.

Beliau berkata perjanjian dengan pengendali sedang diperincikan, manakala penganugerahan akhir perlu mendapat kelulusan Kementerian Kewangan.

Loke berkata penambahan bas itu dirancang dilaksanakan seiring pembukaan RTS Link bagi memastikan penyuraian penumpang dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

Beliau berkata selain KTMB Komuter dan bas, Stesen RTS Bukit Chagar juga akan diintegrasikan dengan JB Sentral, perkhidmatan e-panggilan serta mod pengangkutan awam lain, sekali gus menjadikannya hab pengangkutan awam pelbagai mod.

Dalam pada itu, Loke berkata pembinaan fizikal bangunan, Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) serta stesen RTS Link telah siap, manakala projek kini berada dalam fasa ujian dan pentauliahan.

Beliau berkata fasa berkenaan melibatkan ujian pengintegrasian sistem sebelum diteruskan dengan fault-free run dan trial run bagi memastikan semua sistem berfungsi dengan baik sebelum dibuka kepada orang ramai.

RTS Link dijadualkan mula beroperasi pada 1 Januari tahun hadapan dan dijangka membawa hingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah, menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Woodlands North di Singapura.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement