Skip to main content

Malaysia

Kes dadah juruterbang: Kerajaan teliti semua fakta sebelum putuskan tindakan - Saifuddin Nasution

Sumber: Astro AWANI
Saifuddin Nasution berkata pihaknya menerima taklimat berkala daripada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berhubung perkembangan siasatan kes berkenaan. - Foto Astro AWANI
Advertisement

PUTRAJAYA: Kerajaan akan meneliti semua fakta dan melengkapkan siasatan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan kemungkinan membawa pulang seorang juruterbang warga Malaysia yang ditahan di Indonesia berkaitan kes dadah.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya juga menerima taklimat berkala daripada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berhubung perkembangan siasatan kes berkenaan.

Beliau berkata pasukan narkotik Malaysia juga telah menemu bual suspek di Indonesia bagi mendapatkan maklumat yang boleh membantu siasatan.

"Saya cenderung untuk mengatakan bahawa biar bahagian narkotik menyempurnakan dahulu siasatan sebelum menentukan hala tuju ke depan, termasuk sama ada kita mahu membawa dia pulang dan sebagainya.

"Hakikat bahawa dia ditahan di sana, tentunya dia tertakluk kepada undang-undang negara tempat dia ditahan. Negara itu juga mempunyai undang-undangnya sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Kompleks Setia Perkasa di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata keutamaan ketika ini adalah mendapatkan sebanyak mungkin maklumat daripada suspek bagi mengenal pasti corak kegiatan yang terlibat.

"Buat masa ini, pada kita adalah untuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat daripada subjek supaya kita mengetahui coraknya, sama ada ia sebahagian daripada elemen jenayah terancang ataupun tindakan persendirian.

"Kita perlu mengesahkan semua fakta itu terlebih dahulu sebelum menentukan hala tuju seterusnya," katanya.

Juruterbang warga Malaysia berusia 39 tahun itu ditahan di Terminal 3 Ketibaan Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Tangerang, Banten, pada 29 Julai lalu selepas tiba dari Kuala Lumpur dengan menaiki penerbangan MH727.

Penahanan dibuat pada 11.30 malam waktu tempatan selepas pegawai kastam Indonesia mengesan bagasi milik juruterbang itu dalam mencurigakan menerusi imbasan sinar-X, sebelum mengarahkannya ke bilik pemeriksaan sebaik bagasi berkenaan dituntut.

Pemeriksaan lanjut ditemukan sebanyak 14 bungkusan mengandungi 70,114 pil ekstasi seberat kira-kira 25 kilogram dalam bagasi itu, selain empat gram syabu dalam barang bawaannya, dengan nilai dianggarkan RM45 juta.

Menurut polis Indonesia, juruterbang berkenaan didakwa dijanjikan bayaran sebanyak RM50,000 untuk membawa dadah itu ke Jakarta sebelum ia diambil individu lain di sebuah hotel.

Must Watch Video

Advertisement