KUALA LUMPUR: Cadangan pindaan Akta Pendaftaran Jurutera 1967 kini pada peringkat akhir dan dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata pindaan itu bertujuan memperkukuh serta menambah baik peruntukan sedia ada bagi memastikan profesion kejuruteraan negara dapat diperkasakan dengan lebih baik.
“Pelbagai cadangan dan libat urus dilakukan selain terdapat isu-isu yang dianggap sebagai penting, kita masukkan dalam cadangan pindaan itu. Kita menggunakan peluang ini untuk perbaiki lagi kandungan akta tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Kejuruteraan Kebangsaan (NEC) 2026 di sini hari ini, yang turut dihadiri Presiden Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) Datuk Ibrahim Esa.
“Cadangan pindaan itu dalam proses mendapatkan kelulusan yang diperlukan, termasuk pertimbangan oleh jabatan berkaitan. Ini bukanlah soal mewujudkan peraturan semata-mata.
“Ia mengenai keselamatan awam, akauntabiliti profesional serta memastikan kerja kejuruteraan dilaksanakan oleh individu yang mempunyai kelayakan sewajarnya untuk memikul tanggungjawab berkenaan,” katanya.
Mengulas mengenai pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), beliau berkata kerajaan memberikan penekanan terhadap sektor itu bagi melahirkan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi, khususnya bagi memenuhi keperluan industri pembinaan negara.
Nanta berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) turut menyediakan program TVET melalui Akademi Binaan Malaysia, selain pelbagai program yang dilaksanakan kementerian lain, termasuk Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Malaysia akan menghantar kontinjen untuk menyertai WorldSkills Competition di Shanghai, China, pada September depan, yang akan diketuai Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.
NEC 2026 yang bertemakan ‘Engineering with Integrity in the Digital Age’ menghimpunkan lebih 2,000 peserta dari lapan negara, termasuk Thailand dan Arab Saudi.
Konvensyen itu menjadi platform bagi komuniti terlibat bertukar pandangan serta membincangkan cabaran dan peluang yang bakal membentuk masa hadapan bidang berkenaan, sekali gus memainkan peranan strategik dalam pembangunan negara yang berteraskan tanggungjawab dan integriti.
-- BERNAMA