KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menafikan dakwaan yang dibuat Reporters Without Borders (RSF) dengan menyatakan bahawa tindakan menyekat akses ke beberapa laman web berita, bukan untuk menyekat kebebasan media.

MCMC dalam satu kenyataan menegaskan, tindakan yang dibuat adalah bagi memastikan penyebaran maklumat dilakukan secara bertanggungjawab, dan tanpa menyebarkan fitnah ataupun maklumat yang kurang tepat.

MCMC menegaskan, salah satu tanggungjawab pihaknya adalah mencegah penyalahgunaan platform dalam talian untuk melakukan kesalahan di bawah undang-undang Malaysia.

"Dengan peningkatan penyebaran maklumat dalam talian, terdapat peningkatan dalam pelaporan yang tidak bertanggungjawab dan tidak tepat.

"Beberapa saluran berita didapati dengan sengaja menyebarkan maklumat mengelirukan ataupun menerbitkan kandungan yang tidak tepat, yang boleh mengancam keharmonian masyarakat, kata kenyataan tersebut.

Kenyataan itu juga menyebut, untuk menangani isu-isu berkenaan, MCMC mempunyai autoriti dan kewajipan untuk mengambil tindakan kawal selia terhadap penyebaran maklumat palsu, kandungan jelik dan mengancam.

"Suruhanjaya adalah terbuka untuk berdialog dan sering mengadakan sesi libat urus dengan editor kanan dan wartawan untuk menangani kebimbangan serta isu-isu berkaitan dengan kebebasan bersuara.

"MCMC berhasrat untuk bekerjasama dengan pihak media bagi memerangi peningkatan maklumat kurang tepat dan palsu yang berniat jahat," katanya lagi.

MCMC juga menegaskan pihaknya bertindak di bawah peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

Pengarah biro Asia-Pasifik RSF, Cédric Alviani dalam satu kenyataan menggesa Menteri Komunikasi dan Multimedia, Fahmi Fadzil, agar menghentikan sekatan terhadap laman berita dalam talian.

Katanya, RSF sangat bimbang dengan gelombang sekatan ini oleh pihak berkuasa Malaysia, tanpa penjelasan atau dibawa ke mahkamah, terhadap laman web berita yang kritikal terhadap kerajaan.

Alviani berkata, tindakan seperti itu hanya akan memudaratkan demokrasi di Malaysia.