Beruk jantan yang menggigit seorang kanak-kanak perempuan di Kampung Paya Mengkuang, Pendang pada Ahad lalu ditembak mati pagi tadi.

Pengarah Jabatan Perhilitan Kedah, Mohamad Hafid Rohani berkata beruk daripada spesies 'Macaca Nemestrina' itu yang berusia tiga tahun ditembak hasil bantuan penduduk kampung berkenaan.

"Semalam tindakan untuk menembak beruk berkenaan telah dilakukan oleh pihak perhilitan bersama penduduk kampung, namun beruk berkenaan yang menghilangkan diri selepas kejadian itu gagal dikesan.

"Namun kira-kira pukul 11 pagi tadi, kita berjaya mengesan beruk terbabit dan menembaknya," katanya.

Beruk itu dikatakan menyerang dan menggigit Nur Syahadatul Fatehah Mohd Shahbudin, 6 tahun, yang ketika itu sedang bermain dengan sepupu dan beberapa rakannya.

Gigitan beruk itu sehingga menampakkan tulang betis kanak-kanak berkenaan.

Mohamad Hafid berkata haiwan berkenaan dipercayai dipelihara seorang penduduk dan ketika kejadian, ia dipercayai terlepas dari ikatannya.

Pemilik beruk berkenaan sedang dikesan, katanya.

Beliau berkata tindakan menembak mati beruk berkenaan dirujuk kepada Seksyen 55(1) dan Seksyen 55(3) Akta

Pemuliharaan Hidupan Liar (Akta 716), yang memperuntukkan orang ramai boleh mengambil tindakan sendiri dengan menangkap atau menembak mati beruk.