PUTRAJAYA: Demi memastikan anak istimewa mereka tidak ketinggalan merasai kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan, sepasang suami isteri sanggup mengayuh basikal sejauh tujuh kilometer sambil membawa anak penghidap Cerebral Palsy (CP) bersama-sama menyemarakkan suasana di Dataran Putrajaya dengan ribuan rakyat Malaysia hari ini.
Menggenggam erat tekad itu, Wira Sudepja Rabu, 51, mengayuh basikal bersama dengan isterinya Nur Murni Dona Mohd Nordin, 52, bagi membawa anak istimewanya, Nur Wadihan, 18, dari kawasan tempat letak kereta ke lokasi sambutan.
Wira Sudepja yang tinggal di Seri Kembangan itu menyifatkan kehadiran mereka pada sambutan Hari Kebangsaan bukan sekadar rutin tahunan keluarga, sebaliknya menjadi platform meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap insan berkeperluan khas.
"Bagi saya yang ada anak istimewa dengan diagnosis Cerebral Palsy yang terlantar sepenuhnya ini, kebebasan itu adalah apabila kita bebas bergerak.
“Mula-mula dulu, saya ingatkan nak bawa dia melihat dunia … tetapi, lama-kelamaan saya sedar anak ini mengajar saya supaya dunia pula melihat mereka dengan cara berbeza tanpa mengira keterbatasan mereka. Inilah antara definisi kebebasan merdeka untuk anak-anak istimewa," kata pengurus logistik itu ketika ditemui Bernama di sini.
Wira Sudepja berkata anak bongsunya itu berada dalam keadaan terlantar sepenuhnya umpama bayi berusia empat hingga lima bulan sepanjang hayatnya, namun sentiasa menunjukkan keterujaan dan tindak balas gembira setiap kali dibawa meneroka persekitaran luar.
Apabila ditanya cara beliau mengurus kekuatan bagi menempuh pelbagai cabaran, Wira Sudepja berkata inspirasi dan dorongan utama itu hadir daripada senyuman serta tawa anaknya.
"Kekuatan itu sebenarnya datang daripada anak syurga itu sendiri. Dia lahir dengan cara paling istimewa, jadi kalau boleh kita nak hidup dengan dia melalui cara yang paling istimewa … apabila jumpa sesuatu cara yang boleh menceriakan dia, ketawanya itu ibarat ‘lubuk emas’ sebab dia membesar dengan tangisan dan kesakitan," katanya.
Wira Sudepja berkata inspirasi membawa Nur Wadihan menyertai aktiviti lasak bermula sejak 2014 apabila beliau menyedari riak wajah gembira anaknya setiap kali berselisih dengan orang yang mengayuh basikal di sekitar taman rekreasi di sini.
Sejak itu, beliau berkata rutin harian sekeluarga berkembang daripada sekadar aktiviti berjalan kaki biasa kepada pembabitan aktif dalam pelbagai kejohanan larian maraton dan kayuhan ekstrem.
Bagi memastikan keselesaan Nur Wadihan, Wira Sudepja berkata kerusi basikalnya ditempah khas bernilai lebih kurang RM3,000 dengan sistem sokongan penuh serta kipas semburan air (humidifier) bagi mengawal suhu badan anaknya dalam cuaca panas.
Mengimbas pengalaman menghadiri sambutan kemerdekaan, Wira Sudepja berkata pengalaman gagal memasuki tapak perarakan di sini pada 2024 akibat kesesakan lalu lintas dan sekatan jalan raya mengajar mereka untuk merancang perjalanan dengan berbasikal dari lokasi tempat letak kenderaan yang lebih jauh.
"Jangan tengok pada keterbatasan mereka, tetapi tengok apa yang kita boleh raikan untuk baiki kehidupan mereka. Inilah bagi saya satu daripada definisi kebebasan merdeka untuk anak-anak istimewa," katanya.
-- BERNAMA