KUALA LUMPUR: Saksi utama perbicaraan rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu kerana cuti sakit (MC).

Saksi ke-29, Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli difahamkan mengambil cuti sakit selama empat hari.

Ketika pemeriksaan balas dengan peguam pada Selasa, Zarul Ahmad sudah memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia menghidap tekanan darah tinggi dan jantung berdebar kencang.

BACA: "Saya bayar RM19 juta kepada orang tengah kerana diugut" - Pengarah syarikat

Ketika prosiding bersambung hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memaklumkan kepada mahkamah bahawa saksi tersebut tidak sihat, mendapat cuti sakit empat hari bermula Selasa.

Peguam Guan Eng, Gobind Singh Deo sepatutnya meneruskan pemeriksaan balas dengan Ahmad Zarul pada perbicaraan hari ini.

Kes Rasuah Guan Eng | Pasukan pembelaan dakwa bukti disekat

Hakim, Azura Alwi bagaimanapun meneruskan perbicaraan dengan saksi pendakwaan ke-30, Tan Gaik Eng yang merupakan pengarah kepada sebuah syarikat penilaian tanah.

Dalam keterangannya semalam, Zarul Ahmad memberitahu mahkamah dia membayar RM19 juta kepada ahli perniagaan, G Gnanaraja selepas dia mengugutnya dengan pertuduhan pengubahan wang haram.

Dia mendakwa memberikan wang tersebut bagi menghentikan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya.

Guan Eng berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad mendapatkan projek pembinaan bernilai lebih RM6.3 bilion di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Mahkamah | Pengarah syarikat beritahu terhutang budi kepada Guan Eng

Mengikut pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu.

Ia adalah sebagai penghargaan mendapatkan projek berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, Kuala Lumpur pada Mac 2011.