Hari ini berakhirnya tempoh lelongan Equanimity, kapal layar mewah yang pernah dimiliki ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Menurut laporan The Malaysian Insight (TMI), syerif Mahkamah Tinggi Malaya akan mendedahkan harga bidaan tertinggi dan mengumumkan pemenangnya pada satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Sebelum ini, peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Ong Chee Kwan berkata, pembida perlu meletakkan deposit RM4.18 juta (USD1 juta) dan bukan sembarangan individu yang boleh membidanya.

Kapal layar penuh kontroversi itu dirampas pihak berkuasa Malaysia pada 7 Ogos dan mula dilelongkan sejak 29 Oktober dalam usaha kerajaan mengembalikan wang yang dilesapkan dalam skandal 1MDB.

Sejak itu, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada 21 November, kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM3.5 juta untuk menyelenggara kapal mewah yang lengkap dengan tempat mandian Turki, pad pendaratan helikopter dan pernah menjadi tempat berparti para selebriti terkenal.

Ketika ini, kapal sepanjang 92 meter itu kini berlabuh di Pangkalan Markas Wilayah Laut Tiga (Mawilla 3) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bukit Malut, Langkawi.

Low, yang didakwa sebagai ‘arkitek’ di sebalik skandal berprofil tinggi itu, dikatakan membeli kapal tersebut dengan harga USD250 juta (kira-kira RM1 bilion) menggunakan wang yang diselewengkan daripada syarikat pelaburan strategik itu.

Pemilikan kapal itu sebelum ini dituntut pemiliknya, Equanimity Cayman Ltd, yang mendakwa rampasan oleh kerajaan Malaysia ‘melanggar keputusan mahkamah Indonesia dan arahan mahkamah Amerika Syarikat.’

Bagaimanapun pada 19 Oktober, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan kerajaan Malaysia dan 1MDB sebagai pewaris apabila Equanimity Cayman Ltd gagal tampil ke mahkamah.