Enam belas penghuni pondok tahfiz al-Taqwa di Kampung Telok Teduri, dekat sini, terselamat dalam kejadian kebakaran awal pagi tadi.

Ketika kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, sembilan pelajar termasuk tujuh guru yang berada di dalam pondok tersebut sempat melarikan diri.

Kebakaran memusnahkan bilik darjah dan surau di tingkat tiga bangunan.

Menurut komander operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Pegawai Bomba Kanan 2, Jusoh Abdul Wahab, bomba yang tiba 10 minit selepas menerima panggilan mendapati api sedang marak di bahagian atas bangunan.

Bomba terpaksa menggunakan dua lori pancutan dan satu aliran untuk memadam kebakaran itu supaya api tidak merebak ke bangunan bersebelahan.

Selain BBP Baling, kerja pemadaman turut dibantu anggota dan jentera dari BBP Pengkalan Hulu.

Dalam kejadian itu, kira-kira 25 peratus bangunan tiga tingkat itu terbakar iaitu di tingkat paling atas.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

Punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan.