PUTRAJAYA: Penggunaan Pemodelan Maklumat Bangunan bagi projek kerajaan bernilai RM10 juta dan ke atas diperluas ke seluruh negara dalam usaha mengurangkan perbelanjaan, mempercepatkan pelaksanaan projek serta meningkatkan kecekapan industri pembinaan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penggunaan teknologi digital termasuk BIM mampu membantu projek pembangunan fizikal dilaksanakan dengan lebih efisien, tepat dan tersusun, selain menjimatkan masa dan kos.
“Penggunaan teknologi digital dan BIM dalam melaksanakan projek-projek pembangunan fizikal, khususnya, boleh membantu kita menjadi lebih efisien, lebih cekap, lebih tepat dan lebih menjimatkan masa.
“Semua itu mempunyai implikasi kewangan dan kita harapkan ia dapat mengurangkan kos. Selain kerja-kerja di tapak, pembangunan juga menjadi lebih teratur dan tersusun,” katanya pada Malaysia BIM Day 2026: Putrajaya Digital Built di Kompleks Perbadanan Putrajaya, di sini, hari ini.
Dalam memperluaskan penggunaan teknologi itu, beliau berkata, kerajaan memperuntukkan RM83.3 juta bagi membina BIM Lab di seluruh negara, melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR), termasuk di Sabah dan Sarawak, tahun ini.
Katanya, secara keseluruhan, sebanyak 16 BIM Lab di peringkat JKR akan disediakan dan disasarkan siap di seluruh negara menjelang Disember ini.
Beliau berkata, kemudahan berkenaan membolehkan kontraktor dan perunding yang memperoleh projek kerajaan menggunakan fasiliti BIM bagi mempercepatkan proses pelaksanaan projek.
Katanya, BIM Lab turut dibangunkan menerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di seluruh negara sebagai usaha mengurangkan beban kos kepada kontraktor dan perunding, termasuk kos mendapatkan perisian berkaitan.
Keberkesanan BIM dalam mengurangkan kos dan mengelakkan kelewatan projek antaranya dapat dilihat menerusi penggunaannya dalam projek pembinaan Pan Borneo Sarawak pada 2016.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Azman Ibrahim, berkata penggunaan BIM dalam projek berjaya mengenal pasti dan menyelesaikan lebih 3,000 kesilapan pada lukisan reka bentuk, sekali gus mengelakkan risiko kelewatan yang dianggarkan kira-kira 10 tahun serta menjimatkan RM157 juta wang kerajaan.
Katanya, teknologi berkenaan juga mampu mempercepatkan proses kelulusan pelan yang sebelum ini mengambil masa kira-kira 14 hari kepada sekitar 48 jam.
Beliau berkata, KKR turut merancang mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI) dalam penggunaan teknologi itu pada masa hadapan bagi mempercepatkan lagi proses berkenaan.
“Kalau kita lihat... kos lebih tinggi, (sebab) kita nampak dari segi kos permulaan. Tetapi kita juga perlu melihat pulangannya. Contohnya, proses kelulusan pelan yang mengambil masa 14 hari dapat dikurangkan kepada 48 jam dengan penggunaan teknologi baharu.
“Jadi, kos itu perlu dilihat secara keseluruhan. Kita tidak boleh hanya melihat kos untuk menyediakan AI atau teknologi baharu, tetapi perlu melihat manfaat yang lebih besar,” menurutnya.
Beliau berkata, kerajaan ketika ini mensyaratkan penggunaan BIM bagi projek kerajaan bernilai RM10 juta dan ke atas, selain menyediakan kursus menerusi CIDB bagi membantu kontraktor dan perunding bergerak seiring dengan penggunaan teknologi berkenaan.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, BIM Lab di Putrajaya akan berada di bawah pengurusan Perbadanan Putrajaya (PPj), dengan teknologi itu diharap membantu meningkatkan kecekapan perancangan dan penyelenggaraan bandar.
“BIM Lab ini akan berada di sini dan Perbadanan Putrajaya akan menjaganya. Harapan kita adalah untuk Putrajaya menjadi tempat pertama menggunakan aplikasi ini sepenuhnya supaya perancangan bandar boleh menjadi lebih teratur dan tersusun, manakala penyelenggaraan dapat menjimatkan wang kerajaan,” katanya.
Pada majlis sama, Hala Tuju BIM Putrajaya 2050 dilancarkan sebagai kerangka jangka panjang bagi memperluas penggunaan BIM dalam perancangan, pembangunan dan pengurusan aset Putrajaya secara bersepadu.
Turut dilancarkan myBIM Satellite Putrajaya sebagai platform latihan, pembangunan kompetensi dan perkongsian pengetahuan BIM bagi warga kerja kerajaan serta pemain industri.
Malaysia BIM Day 2026 yang bertemakan “BIM Beyond Design” mengetengahkan penerapan BIM melangkaui aspek reka bentuk dan pembinaan kepada keseluruhan kitar hayat aset, termasuk perancangan, operasi, penyelenggaraan serta pengurusan aset.
Program berkenaan menghimpunkan kira-kira 600 peserta daripada agensi kerajaan, industri, pemaju, kontraktor, golongan profesional, institusi akademik dan syarikat teknologi, selain menampilkan 35 pempamer.