SEREMBAN: Tidak timbul soal kesukaran dalam rundingan kerjasama politik antara gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
 
Tegas Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook, sebaliknya parti-parti terlibat masih mempunyai tempoh yang panjang dan apabila tiba masa yang sesuai, sudah pasti keputusan berhubung perkara itu akan dimuktamadkan.
 
“Bagi saya bukan soal sukar, kita dah tubuh kerajaan pun, kita tubuh Kabinet pun, kalau kata sukar, dalam lima hari kita selesaikan rundingan kita, sejurus PRU kita terus adakan rundingan, lima hari sahaja kita tubuh kerajaan.

“Jadi tidak timbul soal sukar untuk adakan perundingan tetapi dalam politik ini apa pun yangg penting timing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Pertandingan Bakat Belia Negeri Sembilan 2022 di sini, pada Ahad.

Katanya lagi, rakyat juga jelas ingin melihat Kerajaan Perpaduan ketika ini dapat berfungsi dengan baik.
 
Semalam, media melaporkan Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, PH masih belum memulakan perbincangan berkenaan kerjasama dengan BN untuk menghadapi enam PRN pada tahun ini.