ALOR SETAR: Perikatan Nasional (PN) Kedah mencipta sejarah apabila beriaya membolot sebanyak 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah.

Angka itu sekali gus menyaksikan PN di Kedah memperoleh kedudukan selesa bagi menubuhkan kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN15) kali ini.

Antara kerusi tumpuan sudah pastinya di DUN Jeneri selepas Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menang bergaya dengan sebanyak 21,823 undi.

Beliau meninggalkan calon Barisan Nasional (BN) jauh di belakang selepas Datuk Muhamad Khizri hanya mampu meraih sebanyak 5,773 undi.

Selain itu, calon kali pertama, Baddrol Bakthtiar yang bersaing di Gurun juga berjaya menumpaskan calon dari Pakatan Harapan (PH), Firdaus Johari, dengan jumlah undi sebanyak 17,771.

Manakala Firdaus yang juga merupakan anak kepada Speker Dewan Rakyat itu hanya menang 11,187 undi.

Sementara itu, calon PN di Alor Mengkudu, Radhi Mat Din yang juga merupakan bekas bintang bola sepak negara berjaya menenggelamkan calon PH, Datuk Mahfuz Omar yang sebelum ini menang di peringkat parlimen (Pokok Sena).

Radhi menang dengan keseluruhan undi sebanyak 18,936 manakala Mahfuz hanya meraih 8,832 undi.

Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN) dilihat tewas kali kedua selepas gugur di tangan Radzi Md Amin (PN) dengan jumlah keseluruhan undi sebanyak 14,397 undi.

Mahdzir yang sebelum ini yang bertanding di Padang Terap itu tewas dengan hanya meraih 8.024 undi di Pedu.

Tiga kerusi yang gagal dipertahankan PN di Kedah masing-masing terdiri daripada Kota Darul Aman (PH-DAP), Bakar Arang (PH-PKR), dan juga Sidam (PH-PKR).

BN ternyata menerima tamparan hebat selepas kesemua 15 kerusi yang dipertandingkan parti itu di Kedah tewas.