BMW baru-baru ini memberi ‘facelift’ ataupun kemas kini kepada model 3 Series (F30). Perubahan yang diberikan adalah menyeluruh dan pelbagai, tidak seperti kemas kini yang biasa. Antaranya adalah pengenalan enjin-enjin baharu dan perubahan kepada talaan casis. Dan setelah BMW mengeluarkan gambar-gambar tambahan untuk model ini, mungkin ada baiknya kita melihat apa yang ada terhidang.

Mengikut butiran daripada majalah Autocar, perubahan di luar adalah minima – bampar hadapan dan belakang diberikan unsur memanjang; berserta lampu utama yang direka semula. Perubahan yang diberikan adalah untuk menjadikan 3 Series baharu ini kelihatan lebih rendah dan lebar dari dahulu.

Pilihan enjin petrol bermula dengan unit tiga silinder (1.5-liter) dengan pengecas turbo bagi model 318i yang juga sedang digunakan di dalam MINI dan BMW 2 Series Active Tourer. Ini kali pertama enjin tiga silinder digunakan untuk sedan 3 Series, sekaligus menggantikan enjin 4-silinder pada 320i sebagai varian asas model ini.

Enjin petrol empat silinder sekarang diberikan kod B48 baharu yang dipasang pada model 320i (dengan output 181hp dan 270Nm). Di dalam varian 330i enjin ini ditala untuk menghasilkan 248hp dan 349Nm. 330i ini turut menggantikan nama 328i daripada senarai varian di dalam F30.

Bagi prestasi lebih baik, enjin enam silinder juga dikekalkan; di dalam nama varian baharu iaitu 340i yang dipacu dengan 322hp dan 450Nm. Pecutan 0-100km/j dikatakan mengambil masa 5.1 saat.

(Klik untuk galeri penuh)

Pilihan enjin diesel semuanya menggunakan enjin B47 tetapi dengan kelainan prestasi. Bagi varian 316d, pemandu mendapat 114hp manakala di dalam 318d pula, ia menjana 148hp. Namun, varian paling penting bagi variasi enjin diesel dijangka masih lagi kekal untuk 320d dan 320 ED (Efficient Dynamics), di mana masing-masing mempunyai 188hp / 400Nm, dan 161hp dengan jumlah tork yang sama seperti 320d.

Sebuah enjin ‘lama’ – 330d – masih lagi digunakan, dan berupaya menghasilkan 255hp dan 560Nm.

Pilihan kotak gear adalah antara automatik 8-kelajuan (yang kami cukup gemari), dan manual enam-kelajuan (sudah lama tidak nampak batang hidung kotak gear manual BMW di negara ini). Buat masa ini, bentuk badan pula terhad kepada saloon (sedan) dan Touring (station wagon).

BMW menjangkakan sebuah varian hibird plug-in akan diperkenalkan pada tahun hadapan. Dengan nama 330e, ia menggunakan enjin 320i dengan sebuah motor elektrik dengan kuasa 107hp. Ia dikatakan dapat bergerak sejauh 32km sehingga kelajuan 120km/j dengan hanya menggunakan kuasa elektrik.

(Klik untuk galeri penuh)