BMW Group Malaysia telah melancarkan model 3 Series yang dikemaskini, sekarang dengan barisan varian seperti berikut: 318i, 320i, 320d dan 330i. Model 3 Series generasi keenam ini (kod: F30) turut dilengkapi pertambahan Sport Line, Luxury Line dan pakej M Sport.

Antara perbezaan di luar adalah lampu hadapan yang direka semula; begitu juga dengan lampu belakang yang disusun dalam bentuk ‘L’ serta lebih melengkung. Kesemua varian turut lengkap dengan lampu kabus LED yang terletak di bawah lampu utama.

Model sedan popular ini juga diberi rekaan aloi baharu merangkumi saiz 17 inci bagi BMW 318i Luxury Line dan 320i Sport Line. Untuk 320i M Sport, 320d M Sport dan 330i M Sport pula dipasang rim bersaiz 18 inci.

Enjin
Varian 318i (kapasiti 1.5 liter) merupakan yang paling unik di dalam keluarga baharu ini kerana menggunakan tiga silinder sahaja. Namun dengan teknologi TwinPower Turbo BMW ia mampu menjana 136hp dan tork sebanyak 220Nm serta boleh membawa kereta ini ke 100km/j dari rehat dalam masa 8.9 saat. BMW mendakwa bahawa penggunaan kadar bahan api adalah 5.1 liter setiap 100km.

Varian 320i dan 330i pula mengetengahkan penampilan pertama enjin empat silinder 2.0 liter baharu. Di dalam 320i, enjin ini menghasilkan 184hp manakala angka ini melonjak ke 252hp di dalam 330i. Jumlah tork pula masing-masing adalah 290Nm dan 350Nm.

BMW 320d menampilkan enjin diesel 4 silinder terkini yang menawarkan output kuasa 190hp dan tork puncak 400Nm. Ia juga memberikan kuasa pecutan mengagumkan iaitu 7.2 saat dari 0 ke 100km/j dengan penggunaan bahan api hanya 4.0 liter bagi setiap 100km.

Kesemua barian-varian ini menggunakan kotak gear automatik lapan kelajuan.

Ketersambungan
Di sini, sistem BMW ConnectedDrive menggabungkan ciri ciri keselamatan, keselesaan dan infotaimen yang mengagumkan. Sistem navigasi GPS hanya terhad bagi 320d dan 330i, dengan tambahan ciri ‘heads-up display’ khas untuk 330i. Paparan ini memaparkan semua maklumat penting seperti kelajuan, arahan navigasi, had pecutan dan banyak lagi pada posisi pandangan pemandu yang optimum.

Tambahan baharu adalah fungsi ‘Intelligent Emergency Call’ yang akan menghantar maklumat tahap perlanggaran kereta, lokasi kejadian dan lain-lain maklumat kepada Pusat Panggilan BMW secara automatik apabila perlanggaran berlaku dan beg udara diaktifkan. Jika perlu, maklum balas kecemasan sebaik mungkin akan diatur untuk pemilik. Fungsi ini juga boleh digunakan secara manual jika diperlukan.

Penutup
BMW 3 Series generasi keenam yang dikemaskini ini akan mula berada di semua pengedar sah BMW di seluruh Malaysia bermula 21 November. Harga adalah seperti berikut (atas jalan tidak termasuk insurans):
BMW 318i Luxury LineRM208,800
BMW 320i Sport LineRM238,800
BMW 320i M SportRM258,800
BMW 320d M SportRM268,800
BMW 330i M SportRM308,800