Macam-macam pula kereta yang akan dilancarkan dalam waktu terdekat ini, dan yang terbaru daripada BMW untuk memasuki pasaran Malaysia adalah model X4. Seperti model-model X yang lain, ia menampilkan bentuk SUV. Dan dalam kes ini, X4 lebih menjurus kepada asas teknikal X3.

Pemandu dan penumpang hadapan duduk 20mm lebih rendah daripada X3, kerana model baru ini direka dengan tujuan untuk lebih menjurus kepada penggayaan sebuah coupe. Titik paling tinggi kereta ini adalah di atas pemandu, sebelum ia turun ke arah ‘tailgate’. Sebenarnya, jika kita lihat dari sisi, secara fizikalnya ia lebih menyerupai X6.

Belum ada lagi kepastian mengenai varian yang akan dilancarkan kelak; secara amnya ia boleh didapati dengan 3 varian enjin petrol dan 3 varian dengan enjin diesel. Namun, berdasarkan kepada cara pemilihan model X oleh BMW Malaysia setakat ini, tidak mustahil pilihan yang diberi tidak lebih dari dua – setiap satu untuk enjin petrol dan diesel. Begitulah juga keadaanya dengan model-model X1, X3 dan X5. Hanya X6 yang hanya datang dalam satu variasi xDrive35i.

Dua daripada tiga enjin petrol itu adalah daripada enjin 4 silinder: xDrive20i dan xDrive28i. Yang terakhir adalah xDrive35i dengan enjin 6 silinder sebaris. Masing-masing mampu menghasilkan 184hp, 245hp dan 306hp dengan bantuan teknologi TwinPower yang terbukti mantap.