BMW Malaysia telah baharu sahaja melancarkan SAV (SUV) X1 generasi kedua, model yang cukup popular bukan sahaja di Malaysia tetapi seluruh dunia. Hanya satu varian diperkenalkan – iaitu BMW X1 sDrive 20i. Enjin turbo 4-silinder 2.0-liter TwinPower yang digunakan menjana 192hp dan tork sebanyak 280Nm yang mampu memecut kenderaan ini ke 100km/j dari rehat dalam masa 7.7 saat. Seperti yang telah dilaporkan sebelum ini, X1 generasi kedua ini memacu roda hadapan.

Kadar penggunaan petrol mengikut pengeluar adalah 5.9 liter setial 100km. Antara yang membantu untuk mencapai prestasi ini adalah fungsi EcoPro dan Start/Stop automatik.

Rekaan
Gril hadapan direka agar kelihatan lebih agresif, manakala lampu-lampu hadapan dan belakang menggunakan teknologi LED. Lampu hadapan juga datang dengan ciri ‘cornering lights’ yang mengacukan nyalaan lampu ke arah stereng dipusing.

X1 baharu masih lagi mengekalkan bentuk yang lebih kompak sebagai model X yang paling kecil, tetapi tinggi telah bertambah sebanyak 53mm (sekarang tinggi adalah 1,598mm).

(Klik untuk galeri penuh)

Selain itu, tinggi tempat duduk ditingkatkan sebanyak 40mm sekaligus memberi pemandu dan penumpang pandangan lebih jelas ke luar kereta.

Pacuan roda hadapan juga telah memungkinkan ruang kabin lebih besar, hingga petambahan sebanyak 37mm ruang kaki untuk penumpang belakang. Ruang untuk kargo juga telah bertambah ke 1,550 liter apabila semua kerusi barisan belakang dilipat. Jika tidak, ruang ini bersaiz 505 liter.

Teknologi
Ciri BMW ConnectedDrive telah dipertingkatkan dengan kebolehan untuk menggunakan app dan servis melalui portal internet BMW Online. Ketersambungan dicapai melalui kad Sim yang boleh dipasang terus kepada X1 ini. Integrasi bersama telefon pintar juga memudahkan penggunaan app-app, termasuk panggilan kecemasan terus kepada pusat panggilan BMW terdekat tanpa perlu mengeluarkan telefon anda. Lokasi kenderaan dan tahap kemalangan juga boleh dipancarkan terus kepada pusat panggilan berkenaan.

Sistem bantuan pemandu pula terdiri daripada Parking Assistant iaitu satu ciri moden yang membiarkan kereta anda masuk ke dalam kotak parkir dengan automatik. Apabila diaktifkan, kereta akan mencari ruang yang berpotensi untuk meletak kenderaan (selagi kelajuan di bawah 35km/j), dan apabila dijumpai, sistem ini akan bertindak mengawal stereng. Pemandu pula hanya perlu mengawal pendikit dan juga brek.

Harga bagi BMW X1 sDrive 20i ini adalah RM279,800 (atas jalan, tanpa insurans)

(Klik untuk galeri penuh)