Strategi CKD atau pemasangan tempatan adalah penting; antara lain, untuk merendahkan harga kenderaan yang dijual dan mempercepatkan penghantaran, faktor-faktor yang lebih penting di segmen premium ini. Dan sepertimana di Malaysia, ada juga model BMW terpilih di Indonesia yang sudahpun dipasang di negara itu.

Dengan kerjasama PT Gaya Motor, iaitu anak syarikat PT Astra International (ASII), BMW Group Indonesia baharu sahaja mengumumkan yang varian X5 Diesel sekarang dipasang di kilang ASII.

Mengikut laporan daripada The Jakarta Post ini, walaupun masih ada kenderaan yang diimport, penambahan X5 Diesel sebagai model CKD dapat meningkatkan sasaran pengeluaran tempatan tahun 2015 kepada 2,400 unit (daripda 2,045 unit sekarang).

Aktiviti pemasangan tempatan oleh BMW Indonesia bermula pada tahun 2011 dengan pelaburan USD11.6 juta. Pada tahun 2014, mereka menjual sejumlah 3,443 kenderaan, peningkatan 6% daripada tahun sebelumnya. Kesemua model yang dipasang secara CKD adalah untuk kegunaan tempatan, dan bukan dieskport.

Buat masa ini, semua komponen diimport tetapi kemungkinan bahawa komponen tempatan akan digunakan masih wujud.