Jentera Barisan Nasional Kuala Selangor hari ini menerima suntikan populariti Datuk Seri Najib Tun Razak dalam usaha merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri DUN N11 Ijok daripada Pakatan Rakyat.

Najib turun ke kawasan berkenaan dengan beberapa janji khusus menyelesaikan rungutan yang sering dibangkitkan oleh penduduk setempat.

Antaranya isu pengangkutan awam yang menyukarkan kehidupan harian penduduk terutama bagi golongan pekerja.

"Kita akan selesaikan masalah pengangkutan awam antara laluan Bestari Jaya-Kuala Selangor dan Bestari Jaya-Tanjong Karang," kata Najib semasa berucap di hadapan tiga ribu penyokong tegar BN di Bestari Jaya.

Selain itu, Najib turut berjanji membina lebih 2,000 rumah mampu milik di kawasan berkenaan.

N11 DUN Ijok pada Pilihan Raya Umum ke-13 ini menyaksikan BN menampilkan K.Parthiban, pemimpin muda yang popular dan sinonim dalam kalangan masyarakat setempat.

Beliau turun dalam saingan satu lawan satu berhadapan calon PKR, Dr. Idris Ahmad.

Kerusi ini juga jadi tumpuan berikutan penyandangnya yang juga Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengambil jalan untuk tidak mempertahankan kerusi yang dimenangi pada 2008 itu sebaliknya berpindah ke DUN Pelabuhan Klang.

"Kami akan sokong calon yang buat kerja, dahulu Khalid menang tapi tiada perubahan di sini sejak 5 tahun lalu," kata L.Jayakumaran, anak jati Bestari Jaya.

Sementara itu seorang buruh kasar, A.Dhanapackiam berharap kawasan perindustrian akan diperluas bagi mewujudkan peluang pekerjaan.

"Saya fikir, pendapatan harus ditingkatkan dan peluang kami bekerja juga kalau banyak memudahkan kami untuk cari makan," kata beliau.

Dua pertiga daripada keseluruhan pengundi di N11 yang terletak di bawah Parlimen Kuala Selangor merupakan golongan berpendapatan sederhana dan bawah.

Mereka mengharapkan limpahan ekonomi di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dapat dirasai dengan penambahan kawasan perindustrian di kawasan berkenaan.

Dalam PRU ke-12 pada 2008, Khalid menumpaskan calon BN Datuk Sayuti Said dengan majoriti lebih 1,900 undi.

DUN Ijok terletak dalam kawasan Parlimen P96 Kuala Selangor. Kerusi parlimen itu juga dijangka sengit susulan pertembungan pemimpin belia yang mewakili BN, Irmohizam Ibrahim dengan calon 'heavyweight' PAS yang juga penyandang, Dr. Dzulkefly Ahmad.

Dr Dzulkefly menang kerusi itu dengan hanya majoriti 862 undi pada 2008 lalu.