IPOH: Barisan Nasional (BN) akan menetapkan calon-calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hanya selepas penilaian tahap kesiapsiagaan jentera parti selesai diadakan.

Pengarah Pilihan Raya BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata penetapan mengenai pemilihan calon antara parti-parti komponen belum dilakukan setakat ini dan hanya akan dibincangkan apabila beliau selesai melawat seluruh negara dan jawatankuasa pilihan raya berpuas hati dengan kesiapsiagaan jentera.

"Sekarang kami nilai dahulu kesiapsiagaan. Hari ini di Perak negeri ke-12 dan minggu depan akan ke Pahang sebelum Sabah pula kemudian bentang pada parti, baru akan tengok calon dan bahagikan kerusi dengan parti rakan komponen.

"Selepas itu barulah letakkan calon, siapa pun kalau jentera itu kuat boleh menang," katanya ketika ditemui pemberita semasa sesi libat urus Biro Politik Bahagian-Bahagian UMNO Perak di Bangunan UMNO Perak di sini hari ini.

Mohamad berkata laporan penilaian yang rapi berkenaan kesiapsiagaan parti disediakan untuk dipertimbangkan kepada Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi mencari tarikh sesuai untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membubarkan Parlimen.

Beliau berkata setakat ini pihaknya berpuas hati dengan persiapan di Perak namun terdapat beberapa aspek yang perlu diperkemaskan lagi supaya memastikan BN benar-benar bersedia menghadapi PRU15 yang mungkin diadakan pada bila-bila masa.

Pada PRU14, BN Perak memenangi 27 daripada 59 kerusi DUN dan 11 daripada 24 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

-- BERNAMA